Selasa, 15 Januari 2019 | 9:38pm
HASSAN Abdul Karim

PKR Johor kesal Putrajaya diam Singapura 'buli' MB Johor

JOHOR BAHRU: PKR Johor kesal dengan sikap berdiam diri pemimpin Persekutuan dan negeri yang tidak mempertahankan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian daripada tuduhan menceroboh perairan Singapura.

Pengerusinya, Hassan Abdul Karim, berkata beliau sedih dengan sikap membisu pemimpin Kerajaan Persekutuan sama ada Perdana Menteri, Menteri Luar atau Menteri Pertahanan, malah timbalan menteri.

Katanya, pemimpin peringkat Persekutuan berdiam diri membenarkan menteri Singapura termasuk Menteri Pertahanan Singapura ‘membelasah’ Menteri Besar Johor yang dituduh menceroboh masuk ke perairan Singapura.

“Singapura membuli Menteri Besar Johor dan menjadikan Menteri Besar Johor sebagai kambing hitam dan ‘punching bag’, manakala pemimpin di Putrajaya ambil sikap tidak peduli,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, pemimpin Johor juga mengambil sikap membisu membiarkan Osman mempertahankan diri seorang diri dalam menghadapi tuduhan liar daripada Singapura sedangkan beliau menjalankan tugasnya demi mempertahankan kedaulatan wilayah dan maruah negara dan negeri.

“Sikap pemimpin kerajaan Persekutuan dan negeri yang seolah-olah bacul dan dayus membiarkan Menteri Besar Johor diserang oleh Singapura tanpa dibela sewajarnya, selayaknya atas kedudukannya sebagai Menteri Besar Johor, amatlah dikesalkan.

“Sebagai Ahli Parlimen dan Pengerusi PKR Johor yang menjadi sebahagian dari tunggak yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan di Malaysia dan di Johor, saya berhak menimbulkan perkara ini dan menuntut jawapan kerajaan.

“Saya akan bangkitkan perkara ini secara rasmi di Parlimen bila sidang bermula Mac depan,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita Singapura melaporkan lima kapal Malaysia didakwa memasuki perairan Tuas, Singapura.

Portal berkenaan turut menyiarkan beberapa gambar ihsan daripada Pasukan Polis Singapura yang memaparkan rombongan Osman ketika membuat lawatan ke aset Jabatan Laut, MV Pedoman.

Bagaimanapun, Osman menafikan dakwaan laporan portal berita Singapura berkenaan dan yakin rombongannya ketika mengadakan lawatan itu masih berada di dalam perairan negara kerana pasukan yang bertugas untuk mengendalikan kapal itu adalah daripada mereka yang arif mengenai persempadanan maritim.

Beliau dilaporkan berkata, agenda lawatan itu bukan untuk melakukan provokasi ke atas negara jiran, sebaliknya untuk menghantar bekalan makanan kepada pasukan keselamatan yang bertugas yang dilakukan setiap dua minggu sekali.

3598 dibaca
Berita Harian X