Selasa, 15 Januari 2019 | 5:32pm
SULTAN Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama isterinya, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Istiadat Pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Pelantikan Tengku Mahkota Pahang ikut tradisi

PEKAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, memberi bayangan bahawa pelantikan pewaris takhta baginda akan dilakukan mengikut tradisi.

Baginda bertitah, perkara itu bagaimanapun memerlukan kepada perbincangan antara ahli keluarga dan kerabat diraja baginda terlebih dahulu.

“Waris ganti akan saya tentukan dalam masa terdekat... saya kena berbincang dengan pihak keluarga saya dan Insya-Allah saya percaya semua (orang ramai) pun sudah boleh ramal kalau ikut tradisinya. Cuma (sekarang) nak tetapkan dan meyakinkan (diri) kemudian kita boleh memutuskan waris takhta,” titahnya kepada media selepas Istiadat Pemasyhuran di Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, pengumuman pewaris takhta baginda iaitu Tengku Mahkota Pahang yang sebelum ini baginda memegang gelaran itu selama 44 tahun akan ditentukan dalam masa terdekat.

Mengikut tradisi, putera sulungnya yang juga Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah, 23, boleh dilantik sebagai Tengku Mahkota Pahang menggantikan ayahandanya, Al-Sultan Abdullah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang.

Ini kerana secara tradisi jawatan Tengku Mahkota Pahang akan diserahkan kepada putera sulung kepada pemerintah semasa iaitu Al-Sultan Abdullah yang putera sulungnya adalah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah memaklumkan anakandanya iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kini sedang melanjutkan pelajaran di Akademi Ketenteraan Diraja di Sandhurst, United Kingdom (UK) selama setahun dan menyampaikan salam kepada semua.

Al-Sultan Abdullah juga mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan kepada semua termasuk pihak media yang membuat liputan istiadat pemasyhuran Sultan Pahang keenam, hari ini.

“Saya harap dapat tunaikan tugas dan amanah ini (sebagai Sultan) dengan sebaik mungkin dan saya akan beri segala raga, nyawa dan masa untuk Pahang. Sama-samalah kita berdoa semoga kita diberkati Allah SWT,” titahnya.

Sementara itu, ditanya mengenai kebarangkalian baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas pemasyhuran sebagai Sultan Pahang, baginda bertitah ia terletak kepada ketentuan Allah SWT dan menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan yang akan dibuat Majlis Raja-Raja.

Al-Sultan Abdullah bagaimanapun yakin mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang dijangka diadakan pada 24 Januari ini akan membuat keputusan yang tepat dan bijaksana.

“Ia soalan yang sukar kepada saya, saya tidak boleh membuat kesimpulan... saya serahkan kepada keputusan Majlis Raja-Raja,” titahnya.

Ditanya mengenai kesediaan baginda bekerjasama dengan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH), baginda bertitah beliau bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja.

“Saya sebagai pemerintah, sesiapa sahaja yang boleh datang berjumpa saya... dan sedia berkhidmat dan bekerjasama,” titahnya.

2211 dibaca
Berita Harian X