Isnin, 14 Januari 2019 | 3:19pm
LEE Lam Thye. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Rompi monyet tidak sesuai, terlalu menghina - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Pemakaian rompi (vest) tertera perkataan monyet terhadap individu yang didapati membuang sampah merata-rata di Semporna, Sabah dianggap sebagai penghinaan dan tidak bersesuaian.

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit berniat baik bagi tujuan mendidik namun tindakan itu agak keterlaluan.

“Khidmat masyarakat adalah hukuman bertujuan untuk memberi manfaat kepada masyarakat yang menerima kesan akibat tindakan pelaku. Dalam hal ini, apa yang menjadi keutamaan adalah untuk memberi kesedaran kepada pesalah.

“Namun ia tidak bermakna mereka perlu berhadapan dengan penghinaan apabila disamakan dengan haiwan. Menimbulkan rasa malu bukan bermakna kita boleh menghina pesalah dengan sewenang-wenangnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, hukuman dilaksanakan sejak 1 Januari lalu, hanya dikenakan terhadap pemegang dokumen Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), masyarakat Pala’u dan pendatang tanpa izin.

Rakyat tempatan dan pelancong asing pula dikenakan kompaun mengikut undang-undang kecil Anti Kutu Sampah jika berbuat demikian.

“Hukuman yang berbeza kepada kumpulan tertentu juga menunjukkan terdapat diskriminasi dalam pelaksanaan undang-undang terbabit.

“Pihak berkuasa tempatan sepatutnya memilih pendekatan yang lebih berhemah seperti menggunakan perkataan atau ayat yang bersifat mendidik,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Akta Vandalisme dengan mewajibkan hukuman khidmat masyarakat manakala hukuman rotan dikenakan kepada pesalah tegar.

“Khidmat masyarakat adalah cara yang lebih berkesan untuk memerangi vandalisme berbanding hukuman lain terutama yang mengenakan kompaun atau denda,” katanya.

BH pada minggu lalu melaporkan seramai 12 individu dikenakan denda oleh Majlis Daerah Semporna (MDS) dengan melakukan kerja amal mengutip sampah sambil memakai rompi tertera perkataan monyet selepas didapati membuang sampah sesuka hati.

540 dibaca
Berita Harian X