Isnin, 14 Januari 2019 | 2:09pm
DR Zulkifle Ali. - NSTP/Zulkepli Osman

Sultan Abdullah minat pengajian al-Quran, sekolah tahfiz

KUANTAN: “Saya lihat Tuanku (Sultan Abdullah) amat tekun dan tidak berganjak daripada tempat duduknya membaca al-Quran hingga tiga empat jam.

“Di situ saya lihat minat Tuanku yang mendalam terhadap al-Quran dan rajin bertanya mengenai makna ayat-ayat tertentu membuatkan saya kagum akan keperibadian dipamerkan Tuanku.”

Itu pengalaman dikongsi bekas guru al-Quran Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Datuk Dr Zulkifle Ali yang menceritakan kisah kesungguhan Sultan Abdullah mengaji bersama dengannya pada Ramadan 1997 di Masjid Negeri, Masjid Sultan Ahmad 1, di sini.

Dr Zulkifle yang ketika itu menjawat jawatan Imam Besar Masjid Negeri, berkata Sultan Abdullah yang ketika itu menjadi Tengku Mahkota Pahang akan mengajak orang lain yang berada di masjid untuk bertadarus bersama baginda.

“Pernah satu ketika Tuanku tekun mengaji sampai tiga hingga empat jam tanpa menunjukkan tanda jemu dan gelisah.

“Waktu itu seingat saya Tuanku mula mengaji pada jam 11 pagi hingga nak masuk waktu Asar baru Tuanku berhenti... kadang-kala Tuanku akan tanya terjemahan ayat al-Quran dan saya akan terangkan,” katanya.

Dr Zulkifle yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) turut berkongsi pengalaman bersama Sultan Abdullah di luar negara yang mana baginda amat menitik beratkan soal solat.

Katanya, Tuanku juga akan mencari masa lapang untuk membaca al-Quran sebelum melakukan urusan lain.

“Saya lihat Tuanku amat dekat dengan hal ehwal agama dan al-Quran, baginda juga amat menyanjung sekolah dan pelajar tahfiz, jika ada majlis bacaan tahlil di istana pasti Tuanku akan memanggil pelajar tahfiz untuk bersama dengannya,” katanya.

Dr Zulkifle berkata, Tuanku turut menjadi penaung diraja bagi MTNP dan memperuntukkan sumbangan besar kepada institusi agama itu untuk bergerak dan menegakkan syiar Islam di bumi Pahang.

Beliau memaklumkan, setiap tahun Tuanku akan mengambil kesempatan menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada pelajar MTNP sebagai sokongan Tuanku terhadap penghafaz al-Quran.

Katanya, Tuanku juga menitahkan kepadanya untuk mengembangkan pengajian al-Quran daripada peringkat tadika dan Tuanku juga berkenan menyumbangkan bangunan di Pulau Serai, Pekan untuk kegunaan MTNP.

1630 dibaca
Berita Harian X