Isnin, 14 Januari 2019 | 12:22pm
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Saifuddin akan bertemu MB Johor

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dalam masa terdekat susulan dakwaan pencerobohan kapal Malaysia dinaiki Osman ke perairan Singapura di Tuas, Rabu lalu.

Saifuddin berkata, pertemuan itu perlu diadakan kerana banyak isu antara Malaysia dan Singapura membabitkan Johor, selain agensi lain.

"Pertemuan itu sedang diatur dan saya akan bertemu beliau secepat mungkin.

“Sebelum ini, Wisma Putra dan agensi lain (turut bertemu) sebab hubungan dengan Singapura bukan hanya membabitkan Wisma Putra dan Johor tetapi juga Kementerian Pengangkutan, maritim dan sebagainya.

"Pertemuan antara agensi ini selalu berlangsung yang biasanya dihadiri pegawai kanan semua agensi, cuma tidak diuar-uarkan kepada umum. Begitu dengan pertemuan antara pegawai Kementerian Luar Malaysia dan Singapura, ia adalah proses berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan pelantikan wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) Bagi Penggal 2019-2021 di sini, hari ini.

Kelmarin, Pejabat Kementerian Luar Singapura mengumumkan hasrat menangguhkan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan berlangsung hari ini, susulan dakwaan pencerobohan kapal Malaysia dinaiki Osman ke perairan republik itu oleh sebuah portal berita Singapura.

Delegasi Malaysia dijadualkan hadir ke Mesyuarat JMCIM diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan turut diiringi Osman.

Bagaimanapun, Wisma Putra semalam memaklumkan, Mohamed Azmin akan tetap bertemu rakan sejawatnya, Menteri Pembangunan Nasional Singapura, Lawrence Wong dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan untuk berbincang isu dua hala lain.

Osman pada Jumaat lalu bagaimanapun menafikan dakwaan portal berita itu dan yakin rombongannya masih berada di dalam perairan negara ketika lawatan itu kerana pasukan yang bertugas untuk mengendalikan kapal itu arif mengenai persempadanan maritim.

Saifuddin berkata, Malaysia memahami alasan yang diberikan Singapura untuk menangguhkan JMCIM dan tarikh baharu mesyuarat akan ditetapkan kemudian.

"Saya ingin tekankan bahawa kita 'memahami' alasan di sebalik penangguhan itu. Apa yang penting, Datuk Seri Mohamed Azmin meneruskan mesyuaratnya bagi membincangkan isu lain, sekali gus membuktikan hubungan kedua-dua negara berjalan dengan baik dan langkah positif selepas pertemuan saya dengan Vivian, 8 Januari lalu.

"Kita anggap bahawa isu antara Malaysia dan Singapura ini ada banyak yang perlu dilihat dalam gambaran yang lebih besar," katanya.

Berita Harian X