Ahad, 13 Januari 2019 | 11:43am
Bangunan Wisma Putra di Putrajaya.

Hubungan Malaysia-Singapura kekal utuh - Wisma Putra

KUALA LUMPUR: Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura kekal utuh meskipun republik itu menangguhkan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan berlangsung esok.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan pertemuan bagi membincangkan beberapa isu bilateral lain antara kedua-dua negara itu tetap diteruskan, sekali gus menggambarkan hubungan Malaysia dan Singapura tidak terjejas.

“Kementerian Luar mengesahkan penangguhan JMCIM Ke-14, yang asalnya dijadualkan berlangsung pada Isnin, 14 Januari 2019.

“Alasan penangguhan itu, seperti yang dimaklumkan Singapura menerusi satu nota diplomatik bertarikh 11 Januari 2019, adalah kerana lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian ke pelabuhan Johor Bahru di dalam wilayah perairan Malaysia pada 9 Januari 2019.

“Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan tetap bertemu rakan sejawatnya, Menteri Pembangunan Nasional Singapura, Lawrence Wong dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan untuk berbincang isu bilateral lain antara Malaysia dan Singapura.

“Ini menunjukkan hubungan antara kedua-dua negara kekal kukuh,” kata kenyataan itu, hari ini.

Semalam, Pejabat Kementerian Luar Singapura mengumumkan hasrat menangguhkan JMCIM yang dijadualkan berlangsung esok, susulan dakwaan pencerobohan kapal Malaysia dinaiki Osman ke perairan republik itu di Tuas, Rabu lalu.

Delegasi Malaysia yang dijadualkan hadir ke Mesyuarat JMCIM diketuai Azmin dan turut diiringi Osman.

Mengulas lanjut pertemuan Azmin dengan Lawrence dan Balakrishnan, Wisma Putra menyifatkan mesyuarat itu akan membentuk langkah ke hadapan yang positif, susulan pertemuan antara Menteri Luar Malaysia dan Singapura pada 8 Januari lalu.

“Ketika ini, kedua-dua Menteri Luar sedang berhubung dan bersetuju bahawa kedua-dua pihak perlu kekal tenang dan tidak mensensasikan keadaan semasa.

“Kementerian yakin momentum hubungan Malaysia dan Singapura ketika ini akan berterusan dan kekal komited untuk mengukuhkan lagi hubungan bilateral dengan Singapura, berasaskan pada kesaksamaan dan hormat-menghormati,” kata kenyataan itu.

Khamis lalu, sebuah portal berita Singapura melaporkan lima kapal Malaysia didakwa memasuki perairan Tuas, Singapura.

Portal berkenaan turut menyiarkan beberapa gambar ihsan Pasukan Polis Singapura yang memaparkan rombongan Osman ketika melawat aset Jabatan Laut, MV Pedoman.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, Osman menafikan dakwaan laporan portal berita berkenaan dan yakin rombongannya ketika mengadakan lawatan itu masih berada di dalam perairan negara kerana pasukan yang bertugas untuk mengendalikan kapal itu arif mengenai persempadanan maritim.

Menteri Besar Johor itu turut menegaskan, agenda lawatan terbabit bukan untuk melakukan provokasi kepada negara jiran, sebaliknya menghantar bekalan makanan kepada pasukan keselamatan bertugas, yang dilakukan setiap dua minggu sekali.

Berita Harian X