Ahad, 13 Januari 2019 | 11:22am
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.- Foto Eizairi Shamsudin

Tarif air: Perlis sedia bincang dengan Kerajaan Pusat

CHUMPHON (THAILAND): Kerajaan Perlis sedia berbincang dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli mengenai cadangan kerajaan persekutuan untuk menstruktur semula tarif air secara berperingkat di seluruh negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata sebarang kenaikan tarif harus diteliti dengan mendalam kerana ia pasti membebankan rakyat.

“Perlis sudah lama tidak menaikkan tarif air namun bersedia meneliti perkara itu kerana kos memproses air bersih dan penyelenggaraan loji sentiasa meningkat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Azlan berada di sini mengikuti program Ziarah Mahabbah MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis) ke Wilayah Ranong dan Chumphon 2019 yang diketuai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Azlan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan tarif air dinaikkan berperingkat-peringkat mulai tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air negara.

Tarif air di Perlis pada masa ini masih 40 sen satu meter padu, kata Menteri Besar itu.

Baru-baru ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, berkata kenaikan tarif sumber asli itu perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna mendapat air berkualiti serta menjamin industri air daripada sudut perkhidmatan.

Dr Xavier Jayakumar berkata kementeriannya bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang berunding dengan beberapa kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum dilaksanakan.

Azlan berkata kerajaan negeri sudah mengemukakan cadangan memohon peruntukan kepada kerajaan persekutuan bagi menambah baik sistem dan infrastruktur bekalan air di Perlis.

Kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional sebelum ini meluluskan peruntukan RM90 juta untuk tujuan itu namun kerajaan baharu Pakatan Harapan menangguhkan kelulusan berkenaan untuk dikaji semula. – BERNAMA

122 dibaca
Berita Harian X