Sabtu, 12 Januari 2019 | 8:46pm
Kerajaan masih belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung pelaksanaan mata wang kripto di negara ini. - Foto hiasan/Reuters

Belum ada keputusan guna mata wang kripto - Khalid

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung pelaksanaan mata wang kripto di negara ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata cadangan penggunaan mata wang digital itu masih di peringkat perbincangan.

“Berhubung isu mata wang kripto, kerajaan malangnya masih belum membuat satu keputusan yang muktamad sebab ada orang bertanya kepada saya sama ada ia dibenarkan atau sebaliknya.

“Buat masa ini sama ada ia dibenarkan atau tidak, masih belum jelas. Dalam keadaan itu sekali pun, kita sudah melihat ada syarikat yang berjaya menjadi perintis (mata wang kripto) di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyempurnakan Program Amal Penyerahan Bantuan Sumbangan Persekolahan 2019 anjuran Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI Malaysia) dan Blockchain.MY di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, Pakatan Harapan (PH ) sebelum pernah melancarkan mata wang kripto tersendiri iaitu Harapan Coin namun ia masih belum dapat dilaksanakan.

“Kita sebelum ini pernah melancarkan Harapan Coin tetapi malangnya saya tidak menjadi Menteri Kewangan sebaliknya dilantik sebagai Menteri Wilayah (Persekutuan). Jadi saya tidak boleh menggesa perkara itu untuk dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini, Khalid mengumumkan mengenai rancangan untuk menjadikan Harapan Coin sebagai mata wang kripto kebangsaan dan digunakan dalam pentadbiran kerajaan PH pada masa depan, masih diteruskan.

Khalid yang juga pengasas bersama Harapan Coin berkata, secara peribadi, beliau berpandangan penggunaan wang kripto adalah teknologi masa depan yang mempunyai masa depan cerah dan negara ini wajar memanfaatkan potensinya sebaik mungkin.

Pelbagai bank pusat di seluruh dunia kini sedang meneliti inisiatif ke arah penggunaan mata wang kripto secara serius, termasuk Kanada, China, Sweden dan Uruguay.

Mata wang kripto atau mata wang digital itu bagaimanapun adalah kategori wang yang tidak sah laku di Malaysia.

407 dibaca
Berita Harian X