Sabtu, 12 Januari 2019 | 5:48pm
TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan melawat rumah penduduk yang rosak akibat ribut di Kampung Pasir Panjang, Pekan. - Foto Amin Ridzuan Ishak

Tengku Abdullah pemerintah dekat di hati rakyat

TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang VI adalah seorang pemerintah dekat di hati rakyat seperti ayahandanya, Sultan Ahmad Shah serta nendanya, Almarhum Sultan Abu Bakar.

Ia dapat dilihat menerusi kehadirannya ke kawasan terbabit dengan musibah atau bencana banjir, kebakaran atau kejadian lemas di negeri untuk berdamping bersama rakyat dan bertanya khabar mereka seterusnya menghulurkan bantuan segera.

Sekiranya berada di luar negara atas urusan rasmi, baginda akan meminta ahli kerabatnya untuk melihat masalah dihadapi rakyat terjejas seperti dalam kejadian banjir melanda Cherating, Kuantan pada 13 Disember lalu apabila isterinya, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turun padang mewakilinya.

Tengku Abdullah yang berada di Vietnam ketika itu meminta Tunku Azizah Aminah Maimunah bertemu penduduk terjejas dengan segera, isterinya meluangkan masa dua hari berkunjung ke beberapa pusat pemindahan sementara dan menghulurkan bantuan serta memasak untuk mangsa banjir.

Sikapnya sentiasa berdamping dengan rakyat terutama ketika musibah bukan perkara baharu dan ia diwarisinya daripada ayahandanya serta nendanya selain pengalamannya sebagai Tengku Mahkota Pahang sejak 1 Julai 1975 dan Pemangku Raja Pahang ketika berusia 20 tahun pada 28 April 1979 untuk tempoh lima tahun.

Baginda sekali lagi dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada Disember 2016 selepas mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah.

Bertitah ketika Majlis Santapan Sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-12 pada 17 November 2017, Tengku Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan menyatakan pelantikannya Pemangku Raja Pahang adalah tugas mencabar dan membantu ayahandanya menjaga kebajikan rakyat negeri Pahang.

“Ia satu tugas mencabar, saya tidak anggapnya sebagai masalah besar sebaliknya satu tanggungjawab dan satu perkara saya buat dengan ikhlas...bukannya berlakon.

“Kita kalau hendak buat sesuatu kena bantu dari A sampai Z dan ini perkara saya tekankan, saya akan didik anak-anak dengan sikap saya belajar dari ayahanda dan nenda,” titahnya.

Baginda juga tidak kekok duduk semeja sambil minum dengan orang ramai di restoran atau gerai untuk mengetahui permasalahan mereka dan ada kalanya rakyat diminta duduk semeja bersamanya dalam majlis di kampung mereka bukannya pegawai kerajaan seperti lazimnya.

Keperibadiannya dan perwatakan mesra Tengku Abdullah itu juga memudahkan rakyat meluahkan permasalahan mereka dan lazimnya baginda akan terus meminta pegawai bertanggungjawab mengambil maklum aduan terbabit untuk diselesaikan dengan segera.

Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut mementingkan aspek keagamaan dan sentiasa menasihatkan umat Islam mengimarahkan masjid dengan melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan untuk faedah dunia dan akhirat.

Di bawah kepemimpinannya dan naungan Sultan Ahmad Shah di sebagai Sultan Pahang, MUIP bersama kerajaan Pahang berjaya menyumbang kepada perkembangan ekonomi, kebajikan umat Islam serta mengembangkan syiar Islam di negeri ini.

Baginda juga sentiasa menekankan kepentingan rakyat pelbagai kaum negeri ini supaya sentiasa hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu.

Selain itu, Tengku Abdullah turut menitikberatkan aspek integriti di kalangan penjawat awam dan mahu mereka mengelakkan daripada terbabit dengan salah guna kuasa seperti ditegaskannya ketika mengulas kewujudan kegiatan perlombongan bauksit walaupun dalam tempoh moratorium seperti didedahkan media pada Ogos 2017.

Malah, baginda turut menyatakan kekecewaannya terhadap pembabitan penjawat awam dalam perlombongan haram bauksit.

“Cuba ingat anak cucu. Tindakan itu (menerima rasuah) akan memberi kesan kepada keluarga," titahnya.

Pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang VI bakal meneruskan pemerintahan yang mengutamakan kebajikan rakyat di negeri ini yang bernaung di bawah naungannya selaras dengan semangat Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.

574 dibaca
Berita Harian X