Sabtu, 12 Januari 2019 | 5:38pm

Jenazah Zian selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR : Jenazah bekas Pengarang Harian Metro, Mohd Zian Johari, 64, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kemensah selepas solat Zohor, di sini, hari ini.

Kira-kira 300 rakan dan kenalan Allahyarham memberikan penghormatan terakhir. Antara mereka ialah bapa saudara yang juga veteran UMNO, Tan Sri Anuar Musa; Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A. Majid; Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; dan bekas Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Allahyarham meninggal dunia pada jam 2.20 tengah malam tadi di Hospital Serdang akibat komplikasi selepas pembedahan jantung yang di hospital sama pada 12 Disember lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dengan enam orang anak berusia antara 16 dan 33 tahun.

Isteri Allahyarham, Fuzilah Hassan, 54, berkata Allahyarham yang mengadu kerap sesak dan sakit dada sejak Mac tahun lalu, mengambil keputusan menjalani pembedahan jantung.

Namun, kesihatannya semakin merosot selepas melalui pembedahan itu.

Malah beberapa hari sebelum ini, doktor mengesahkan berlaku jangkitan kuman dalam darah hingga merebak ke seluruh anggota badan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada yang hadir dan memohon maaf sekiranya sepanjang mengenali, arwah ada berbuat salah dan silap. Malah sekiranya arwah ada berhutang, sila bertemu dengan kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.


JENAZAH Mohd Zian disolatkan di Masjid Ukay Perdana. - Foto Saifullizan Tamadi

Mohd Zian menghembus nafas terakhir di sisi ahli keluarga di hospital, sebelum dibawa pulang ke rumah di Ukay Perdana dan dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Ukay Perdana kira-kira jam 11. 00 pagi ini.

Anak bongsu Allahyarham, Zeeti Izati Mohd Zian, 16, berkata kenangan terakhir yang tidak dapat dilupakan ialah apabila arwah ayahnya menunjukkan isyarat jari tanda bagus apabila beliau memperoleh 10 A pada Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) selepas selesai menjalani pembedahan itu.

“Arwah selalu tekankan betapa pentingnya pelajaran. Beliau tidak pernah lupa meniup semangat saya untuk menuntut ilmu dan akan saya ingat selamanya,” katanya.

Zian yang memulakan kerjaya sebagai wartawan The New Straits Times sebelum dilantik sebagai Pengarang Sukan Berita Harian dan Pengarang Harian Metro.

Bapa saudara Fuzilah, Anuar, berkata Allahyarham dikenali sebagai kawan, saudara dan pekerja yang sangat disiplin dan menyenangkan.

“Sebelum pembedahan lagi kami ada berbincang mengenai komplikasi tetapi arwah bertegas untuk menjalaninya namun Allah lebih sayangkan dirinya. Pemergian beliau suatu kehilangan buat kami sekeluarga,” katanya.

Bekas Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman, berkata arwah dikenali sebagai ketua yang tegas dan sangat mementingkan ukwah dengan pekerja.

Katanya, sewaktu beliau berkhidmat di Harian Metro, Allahyarham amat pentingkan hubungan baik antara pekerja antaranya menganjurkan Hari Keluarga dan jamuan.

“Seorang ketua yang tegas tetapi mesra. Kehebatan beliau mencantikkan sesuatu rencana antara kenangan tidak dapat saya lupakan,” katanya.


ORANG ramai mengusung jenazah Mohd Zian untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg Kemensah.- Foto Saifullizan Tamadi

1592 dibaca
VETERAN UMNO, Tan Sri Anuar Musa ketika ditemui di kediaman Mohd Zian di Ukay Perdana. - Foto Saifullizan Tamadi
ANTARA rakan dan kenalan yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di kediamannya di Ukay Perdana. - Foto Saifullizan Tamadi
Berita Harian X