Sabtu, 12 Januari 2019 | 4:06pm
PENGANALISIS politik dan perundangan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Tengku Abdullah layak dicalonkan sebagai Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR: Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah layak dipertimbang untuk dicalonkan oleh Majlis Raja-Raja sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI selepas baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang yang baharu pada 15 Januari ini.

Penganalisis politik dan perundangan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata ia sejajar dengan Perkara 32 Perlembagaan yang menggariskan hanya Raja atau Sultan yang bersemayam di atas takhta kerajaan negeri layak dipilih untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, walaupun Tengku Abdullah dianggap ‘junior’ dalam barisan sembilan Raja atau Sultan negeri yang ada ketika ini, baginda tetap layak untuk dicalonkan kerana statusnya adalah Sultan dan bukan lagi Pemangku Sultan.

“Apabila baginda ditabalkan menjadi Sultan, maka statusnya adalah raja yang bersemayam di atas takhta kerajaan negeri. Tidak ada tempoh ‘edah’ ditetapkan bagi seorang Raja untuk dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Maka, baginda layak dipertimbang bagi dicalonkan oleh Majlis Raja-raja untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong walaupun kedudukannya ‘baru’ dilantik sebagai Sultan.

“Tiada siapa yang boleh menghalang baginda kecuali Majlis Raja-Raja. Urusan pelantikan seseorang Raja sebagai Yang di-Pertuan Agong juga tidak mengikut ‘senioriti’ tetapi berpandukan amalan sebelum ini mengikut giliran negeri mana yang sepatutnya mengisi jawatan itu,” katanya kepada BH hari ini.

Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang hari ini bersetuju melantik Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang keenam.

Majlis pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang akan diadakandi Istana Abu Bakar, Pekan pada 15 Januari ini.

Majlis Raja-Raja pada Isnin lalu menetapkan mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja itu diadakan susulan Sultan Muhammad V, meletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15, berkuat kuasa serta merta pada Ahad lalu.

Mengikut amalan, Yang di-Pertuan Agong dipilih berdasarkan sistem penggiliran setiap lima tahun mengikut negeri.

Menurut senarai, giliran seterusnya selepas Kelantan adalah Pahang diikuti Johor dan Perak.

Tengku Abdullah diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan.

Baginda adalah anak keempat daripada tujuh beradik hasil perkahwinan Sultan Ahmad Shah dengan Almarhum Tengku Ampuan Afzan

Pada 1 Julai 1975, baginda dilantik Tengku Mahkota Pahang dan dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.

Ketika berusia 20 tahun, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 selepas ayahandanya, Sultan Ahmad Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong VII, pelantikan baginda itu adalah untuk tempoh lima tahun.

Baginda dilantik semula sebagai Pemangku Raja Pahang selepas mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah yang diisytiharkan dalam surat rasmi Kerajaan Pahang bertarikh 28 Disember 2016.

Baginda berkahwin dengan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pada Mac 1986 dan dikurniakan empat putera dan lima puteri.

3480 dibaca
Berita Harian X