Sabtu, 12 Januari 2019 | 3:46pm
ISTANA Sultan Abu Bakar, Pekan. - Foto ihsan Portal Diraja Pahang

Sejarah Kesultanan Melayu Pahang

Sejarah Kesultanan Melayu Pahang

Sultan Pahang 1

Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah Ibni Al-Marhum Bendahara Ali bergelar Sultan Pahang yang pertama pada 6 Ogos 1882.

Baginda ialah anakanda kepada Bendahara Ali dengan Che Long, juga dikenali sebagai Che Lingga.

Diputerakan pada 23 Mei 1836 bersamaan 5 Muharram 1252 Hijrah, di istana ayahandanya di Pulau Maulana, Pekan dan adalah putera kelima daripada 11 adik beradik.

Baginda diisytiharkan menjadi Sultan pada 16 Ogos 1882 dan mangkat pada 9 Mei 1914, setelah memerintah selama lebih kurang 50 tahun.

Sultan Pahang II

Al-Marhum Sultan Mahmud Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah diputerakan pada 4 Februari 1868 bersamaan 10 Syawal 1254 Hijrah.

Baginda dilantik menjadi Pemangku Raja pada 22 Julai 1889 bagi membantu ayahandanya dalam urusan pemerintahan negeri. Pada 11 Oktober 1891, Tengku Mahmud diberi gelaran Tengku Besar Pahang iaitu gelaran kepada seorang bakal Sultan.

Baginda berkahwin dengan Tengku Mariam iaitu puteri kepada Al-Marhum Sultan Abu Bakar (Johor) pada Julai 1913 tetapi tidak meninggalkan zuriat.

Baginda menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Yang Memerintah pada 9 Mei 1914 dan Tengku Mariam pula dilantik sebagai Tengku Puan Besar danmangkat pada 19 Jun 1917 di Rumah Rehat Kuala Pahang.

Sultan Pahang III

Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah.

Baginda diputerakan pada malam Khamis, 12 Oktober 1874 bersamaan 25 Syawal 1296 Hijrah, di istana ayahandanya dan bondanya Cik Su’ma di Pekan Lama.

Baginda adalah putera kelima Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Bendahara Ali dan dilantik menaiki takhta kerajaan Pahang setelah kemangkatan kekandanya, Sultan Mahmud.

Baginda ditabalkan sebagai Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah pada Mei 1919, di Balairung Seri Istana Seri Terentang, Pekan dengan penuh istiadat.

Baginda mangkat di Istana Kuning pada 22 Jun 1932 dan meninggalkan tiga isteri iaitu Che Endut, Che Kalsum Abdullah dan Che Wan Chantik Wan Mohd Amin serta 10 putera dan tujuh puteri.

Sultan Pahang IV

Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah.

Baginda diputerakan pada 29 Mei 1904 bersamaan 14 Rabi’ul Awal Tahun 1322 Hijrah. Baginda adalah putera kepada Al-Marhum Sultan Abdullah dengan Che Kalsum Abdullah.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan dan kemudian menyambung pendidikannya dalam aliran Inggeris di Maktab Melayu Kuala Kangsar atau dikenali sebagai Malay College Kuala Kangsar(MCKK) di Perak.

Baginda menaiki takhta pada 24 Jun 1932 dan kemudiaannya ditabalkan sebagai Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada hari Ahad, 28 Mei 1933 di Istana Pantai, Pekan. Pada waktu itu, usianya baharu mencecah 28 tahun dan baginda adalah Sultan yang paling muda dalam sejarah Raja-Raja Tanah Melayu ketika itu.

Baginda mangkat pada 5 Mei 1974 di Istana Kecil, Pekan setelah memerintah Pahang selama 42 tahun.

Sultan Pahang V

Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah diputerakan jam 12 tengah hari pada Jumaat, 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal (bersebelahan Istana Kuning, Pekan Lama) Bandar Diraja Pekan.

Baginda adalah anakanda ketiga Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah dengan Al-Marhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Hajjah Fatimah binti Al-Marhum Sultan Iskandar Shah.

Baginda memulakan persekolahannya di Sekolah Melayu di Kuala Kangsar, Perak dan melanjutkan pelajarannya ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dan turut belajar asas agama di Kuliah Al-lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar, Padang Polo, Pekan.

Baginda kemudiannya menyambung semula persekolahannya di Sekolah Clifford, Kuala Lipis melanjutkan pelajaran di Sekolah Persendirian Sussex sebelum memasuki Worchester College, Oxford bagi mengikuti Kursus Pentadbiran Awam dalam tahun 1950.

2952 dibaca
Berita Harian X