Sabtu, 12 Januari 2019 | 3:39pm
PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. - Foto Asyraf Hamzah

Biodata Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan. Baginda adalah anak keempat daripada tujuh beradik hasil perkahwinan Sultan Ahmad Shah dengan Almarhum Tengku Ampuan Afzan.

Pada 1 Julai 1975, baginda dilantik Tengku Mahkota Pahang dan dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad, Pekan, Sekolah Rendah St Thomas, Kuantan dan Sekolah Menengah St Thomas, Kuantan.

Baginda melanjutkan pengajian di Aldenham School, Elstree Hertfordshire – Advance School (1975-1978), Davies College, London – Advance School (1978-1979), Royal Military Academy, Sandhurst, England (1979-1980) dan Worcester & Queen Elizabeth College (Foreign Affair & Diplomacy) (1981).

Ketika berusia 20 tahun, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 selepas ayahandanya, Sultan Ahmad Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-VII, pelantikan baginda itu adalah untuk tempoh lima tahun.

Baginda dilantik semula sebagai Pemangku Raja Pahang selepas mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah yang diisytiharkan dalam surat rasmi Kerajaan Pahang bertarikh 28 Disember 2016.

Berkahwin dengan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Mac 1986.

Mempunyai empat putera dan lima puteri:

Tengku Amir Nasser

Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah

Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah

Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah

Tengku Puteri Ilyana

Tengku Puteri Iman Afzan

Tengku Puteri Ilisha Ameera

Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah

Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah

Antara jawatan lain dipegang baginda kini adalah Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Komander Rejimen 505 Askar Wataniah, Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Canselor Universiti Automotif Malaysia DRB-HICOM

Baginda juga pernah memegang jawatan dalam persatuan sukan antaranya Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Presiden Persatuan Hoki Malaysia (MHF)

Berita Harian X