Sabtu, 12 Januari 2019 | 9:16am
CALON Barisan Nasional Ramli Mohd Nor (dua dari kanan) bersama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) berarak masuk menuju ke pusat penamaan calon PRK Parlimen Cameron Highlands. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
PEGAWAI Pengurus PRK, Datuk Ishak Md Nais mengumumkan proses penamaan calon PRK Parlimen Cameron Highlands bermula. - BERNAMA

Proses penamaan calon PRK Cameron Highlands bermula

CAMERON HIGHLANDS: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands bermula pada jam 9 pagi ini di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata di sini.

Calon-calon mempunyai tempoh selama sejam iaitu sehingga 10 pagi ini untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum Pegawai Pengurus PRK, Datuk Ishak Md Nais, mengumumkan nama calon yang layak bertanding kira-kira pada jam 11 pagi.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya negeri Pahang, Datuk Zamree Hamli, berkata setakat pukul 5 petang semalam, sebanyak 11 set borang pencalonan telah dibeli dengan tiga set masing-masing oleh Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan calon bebas, manakala dua set lagi oleh Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP).

Setakat ini, PH mengumumkan M Manogaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang sebagai calonnya manakala BN mempertaruhkan bekas pegawai kanan polis daripada komuniti Orang Asli tempatan, Ramli Mohd Nor, sebagai calon. Selain itu, Tan Sri M Kayveas daripada MyPPP juga sebelum ini mengumumkan akan bertanding di PRK itu.


CALON Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran berarak ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah Tanah Rata, Cameron Highlands. - NSTP/Abdullah Yusof

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS/3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan B Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM/ 680 undi).

SPR juga menetapkan 13 Januari sebagai tarikh pengeluaran kertas undi pos, undi awal (22 Januari), semakan peti undi (25 Januari), manakala hari pengundian pada 26 Januari dan buat julung kalinya suruhanjaya itu akan menyiarkan lintas langsung proses penamaan calon, pengundian dan pengiraan undi di laman Facebook SPR (www.facebook.com/sprgovmy/).

Parlimen Cameron Highlands mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanah Rata dan Jelai dengan jumlah keseluruhan pengundi yang layak memilih pada PRK kali ini seramai 32,009 orang termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir dan 385 pengundi kurang upaya.

PRK ini adalah yang kelima setelah PRU14 dengan tiga pilihan raya sebelum ini melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor dan pilihan raya Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan. – BERNAMA

Berita Harian X