Jumaat, 11 Januari 2019 | 6:33pm
MENTERI Besar, Datuk Osman Sapian merasmikan Sekolah Menegah Kebangsaan Suria Perdana dan Program ‘Back To School’, hari ini. - Foto Adnan Ibrahim

MB Johor nafi dakwaan masuk perairan Singapura

BATU PAHAT: Kerajaan Johor, hari ini menafikan dakwaan laporan sebuah portal berita Singapura yang mendakwa lima kapal pasukan keselamatan negara memasuki perairan republik itu, Rabu lalu.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, menegaskan beliau yakin rombongannya ketika mengadakan lawatan itu masih berada di perairan negara dan tidak melepasi sempadan kerana pasukan yang bertugas untuk mengendalikan kapal itu adalah daripada mereka yang arif tentang persempadanan perairan.

Katanya, agenda lawatan itu diadakan bukan berniat untuk melakukan provokasi ke atas negara jiran, namun apa yang dilakukan adalah untuk melawat pasukan bertugas, selain meninjau proses menghantar bekalan makanan kepada pasukan keselamatan yang bertugas yang dilakukan setiap dua minggu sekali.

“Kawasan yang dimaksudkan bukan di dalam perairan negara itu (Singapura) kerana kita melawat pasukan yang bertugas untuk menjaga sempadan dan mereka itu juga masih berada di dalam negara, jadi dakwaan itu hanya satu cubaan untuk mengelirukan semata-mata.

“Rombongan ini hanyalah datang untuk membuat lawatan kemanusiaan dengan menemui anggota yang bertugas, malah semua kapal pasukan bertugas itu nyata berada di dalam negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Sekolah Menegah Kebangsaan Suria Perdana dan Program ‘Back To School’, di dataran sekolah itu hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohd Khuzzan Abu Bakar; Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shaharuddin Sharif; Pegawai Pelajaran Daerah Batu Pahat, Said Daimon dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkifli Abas.


GAMBAR polis Singapura yang disiarkan dalam laporan sebuah portal republik itu memaparkan aset Jabatan Laut dinaiki Menteri Besar, Datuk Osman Sapian ketika mengadakan lawatan kelmarin yang didakwa memasuki perairan negara itu. - Foto Singapore Police Force

Osman berkata, mengikut ulasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di YouTube dan Facebook, beliau secara jelas menyatakan terdapat kapal pasukan keselamatan negara ini di kawasan berkenaan itu sebagai tanda pihaknya tidak melepasi sempadan.

Semalam, sebuah portal berita Singapura melaporkan lima kapal Malaysia didakwa memasuki perairan Tuas, Singapura.

Portal berkenaan turut menyiarkan beberapa gambar ihsan daripada Pasukan Polis Singapura yang memaparkan rombongan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian ketika membuat lawatan ke aset Jabatan Laut, MV Pedoman kelmarin.

Sementara itu, Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan semalam, menolak laporan sebuah portal berita bahawa kapal MV Pedoman miliknya kini berada dalam perairan Singapura.

Ketua Unit Korporatnya, Yusnan Abdul Rani, berkata kapal penyelenggaraan pelampung pandu dengan 22 anak kapal itu berada dalam kawasan had pelabuhan Johor Bahru yang sudah diwartakan bagi menggantikan kapal Polaris yang keluar dari kawasan berkenaan pada 5 Januari.

“Kapal Pedoman kini berada di posisi yang sama seperti kedudukan kapal Polaris yang lepas iaitu dalam kawasan had pelabuhan Johor Bahru yang sudah diwartakan.

“Kapal Pedoman dan Polaris sentiasa berada dalam perairan Malaysia sepanjang pengoperasian mereka,” katanya.

Selasa lalu, Menteri Luar Malaysia dan Singapura mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu pertikaian ruang udara dan had pelabuhan maritim.

Hasil pertemuan itu, Malaysia bersetuju menggantung Kawasan Larangan Kekal (RA) ruang udara di Pasir Gudang, pada masa sama Singapura setuju menggantung pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, berkuatkuasa serentak selama sebulan.

2381 dibaca
Berita Harian X