Jumaat, 11 Januari 2019 | 2:14pm

Pemimpin PH sedih dengan kehilangan Bakhtiar

KUALA LUMPUR : Pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) hari ini mengucapkan takziah atas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang meninggal dunia akibat serangan jantung, pagi tadi.

Antara yang memuat naik status ucapan takziah di Twitter rasmi masing-masing atas kehilangan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut mengucapkan takziah ialah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Wan Azizah berkata beliau mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh.

“Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un. Salam takziah diucapkan buat keluarga Allahyarham, sahabat handai dan rakan seperjuangan daripada @PPBMofficial,” katanya di sini, hari ini.

Mohamad Sabu, yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), menyampaikan salam takziah kepada keluarga dan sahabat handai Allahyarham.

“Salam takziah buat keluarga dan sahabat handai ADUN Semenyih, Bakhtiar, yang menghembuskan nafas terakhir beliau pagi tadi.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin, turut menzahirkan rasa dukacita atas khabar pemergian ADUN Semenyih.

“Saya mendoakan semoga Allahyarham mendapat husnul khatimah dan ditempatkan di syurga Allah SWT yang penuh nikmat.

“Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan menerima dugaan ini. Al-Fatihah,” katanya.

Anwar, yang mewakili kepemimpinan PKR, turut menzahirkan kesedihan atas kehilangan Bakhtiar.

“Salam takziah dari saya dan seluruh keluarga besar KEADILAN. Semoga keluarga tabah menghadapi dugaan ini; didoakan supaya Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Bakhtiar, meninggal dunia di Hospital Kajang pada jam 4.45 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, dan akan disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih.

Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

Bakhtiar, menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz, daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

489 dibaca
Berita Harian X