Jumaat, 11 Januari 2019 | 10:59am
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari membaca doa bagi penghormatan terakhir kepada Jenazah Ahli Dewan Negeri (ADUN), Bakhtiar Mohd Nor yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 4.45 pagi tadi di Kampung Pasir Sungai Lalang, Semenyih. - Foto Azhar Ramli

ADUN Semenyih giat perjuangkan nasib rakyat - MB

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, yang meninggal dunia awal pagi tadi disifatkan amat prihatin dan giat memperjuangkan nasib rakyat.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata Bahktiar, 57, wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu sering kali berbincang mengenai kebajikan rakyat Semenyih.

“Allahyarham kerap meluangkan masa berbincang dengan saya dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengenai inisiatif bagi penduduk kawasan itu.

“Bagi peringkat Dewan Negeri Selangor, Allahyarham adalah Ahli Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT).

“Sebagai Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat, Allahyarham juga memainkan peranan penting dalam Pakatan Harapan (PH) Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Amirudin turut merakamkan takziah kepada keluarga Bakhtiar.

“Semoga ahli keluarga Allahyarham diberi kekuatan untuk mengharungi ujian yang amat berat ini.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat Allah serta dikurniakan husnul khatimah,” katanya.

Bakhtiar disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung, jam 4.45 pagi tadi.

Jenazah akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, dan akan disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih.

Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

Bakhtiar menjadi wakil rakyat di Semenyih sejak Mei tahun selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz, daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Berita Harian X