Jumaat, 11 Januari 2019 | 10:18am
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, ketika membuat lawatan ke aset Jabatan Laut, MV Pedoman kelmarin. - Foto ihsan Facebook Datuk Osman Sapian.

Singapura dakwa 5 kapal Malaysia 'masuk' perairan

JOHOR BAHRU: Selepas rundingan dua hala berkaitan isu ruang udara dan had pelabuhan maritim diadakan Selasa lalu, Singapura hari ini mendakwa lima kapal Malaysia memasuki perairan republik itu.

Dalam laporan sebuah portal berita republik itu, lima kapal yang didakwa memasuki perairan Tuas, Singapura itu termasuk yang dinaiki rombongan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, ketika membuat lawatan ke aset Jabatan Laut, MV Pedoman kelmarin.

Laporan itu turut menyiarkan beberapa gambar ihsan daripada Pasukan Polis Singapura yang memaparkan kapal dinaiki Osman jelas diambil dari jarak jauh.

“Lima kapal Malaysia berada dalam perairan Singapura di Tuas pada jam 6 petang, Rabu, sehari selepas kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi menangani pertikaian maritim.

“Dua kapal kekal berada dalam perairan Singapura pada jam 6 petang Khamis (semalam), kata Pihak Berkuasa Pelabuhan Maritim (MPA) ketika menjawab pertanyaan media,” menurut laporan berkenaan.


Antara gambar Pasukan Polis Singapura yang disiarkan dalam laporan sebuah portal republik itu memaparkan aset Jabatan Laut dinaiki Menteri Besar, Datuk Osman Sapian ketika mengadakan lawatan, kelmarin yang didakwa memasuki perairan negara itu. - Foto ihsan Singapore Police Force

NSTP cuba mendapatkan reaksi Jabatan Laut berhubung dakwaan itu.

Terdahulu, Osman memuat naik kenyataan dalam laman rasmi Facebooknya melawat anggota dan pegawai Jabatan Laut yang bertugas di atas kapal MV Pedoman, kapal induk jabatan itu di kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura.

“Kapten Mohamad Azlan Aziz turut memberikan penjelasan mengenai had kawasan sempadan yang menjadi pertikaian dua negara.

“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas jasa dan pengorbanan anggota keselamatan dan kakitangan awam yang komited mengawal dan mempertahankan perairan kita,” katanya dalam kenyataan itu.

Selasa lalu, Menteri Luar Malaysia dan Singapura mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu pertikaian ruang udara dan had pelabuhan maritim.

Hasil pertemuan itu, Malaysia bersetuju menggantung Kawasan Larangan Kekal (RA) ruang udara di Pasir Gudang, pada masa sama Singapura setuju menggantung pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, berkuat kuasa serentak selama sebulan.

5952 dibaca
Berita Harian X