Jumaat, 11 Januari 2019 | 7:57am

ADUN Semenyih meninggal dunia

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada jam 4.45 pagi tadi akibat serangan jantung.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah, berkata jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, dan akan disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih.

Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

"Takziah kepada keluarga Allahyarham Bakhtiar. Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan di kalangan golongan yang soleh. Al Fatihah," katanya.

Bakhtiar Mohd Noor, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz, daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

6228 dibaca
ADUN Semenyih, Bakhtiar Mohd Noor, 57, meninggal dunia jam 4.45 pagi tadi di Hospital Kajang.
Berita Harian X