Rabu, 9 Januari 2019 | 7:09pm
MOHD Amar Nik Abdullah. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Kelantan buat sambutan rasmi selepas dapat perkenan Tuanku

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan mengadakan sambutan rasmi keberangkatan pulang Sultan Muhammad V selepas mendapat perkenan Tuanku.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata setakat ini Tuanku belum bertitah bila akan pulang ke Kelantan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri sudah membuat persiapan awal apa yang perlu berkaitan majlis rasmi menyambut keberangkatan pulang Sultan Muhammad V.

“Setakat ini kita tidak boleh jangka bila majlis rasmi akan dibuat kerana Tuanku sendiri tidak memaklumkan tarikh keberangkatan pulang.

“Sebarang urusan rasmi kerajaan negeri dengan pihak istana akan dilakukan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.

“Untuk mengadakan majlis rasmi sambutan kepulangan perlu mendapat maklumat daripada Tuanku terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V mengumumkan peletakan jawatan baginda sebagai ketua negara berkuat kuasa Ahad lalu, selepas dua tahun melaksanakan tugas.

Pengumuman itu dibuat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, dalam satu kenyataan kelmarin yang memaklumkan peletakan jawatan baginda dibuat selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, perkara itu dimaklumkan secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

Mengulas lanjut, ketika ditanya sama ada benar syarat pelantikan Raja Perempuan Kelantan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri adalah bangsa Melayu, Mohd Amar mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, semua undang-undang boleh digubal menerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jika sesuatu perkara itu menyentuh istana, ia perlu mendapat perkenan Tuanku terlebih dahulu,” katanya.

3241 dibaca
Berita Harian X