Isnin, 7 Januari 2019 | 7:07pm
Istana Negara. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Jawatan Yang di-Pertuan Agong tak semestinya ikut penggiliran

IPOH: Pemilihan Yang di-Pertuan Agong akan mengikut proses pengundian dalam kalangan Raja-Raja Melayu bagi mengisi kekosongan jawatan tertinggi itu dan tidak semestinya mengikut jadual penggiliran.

Pakar perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan menyebut kuasa melantik Yang di-Pertuan Agong terletak pada Majlis Raja-Raja dan Perkara 38(6) pula menyebut kuasa melantik adalah termasuk dalam kuasa di bawah budi bicara Majlis Raja-Raja dan tiada sesiapa berhak campur tangan dalam urusan itu.

“Perkara 38(2) pula menyatakan bahawa pelantikan Yang di-Pertuan Agong mestilah dibuat mengikut cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan yang memberikan panduan berkenaan jadual penggiliran Yang di-Pertuan Agong antara sembilan negeri.

“Penggiliran ini sudah berlaku dalam pusingan pertama dengan urutan senarai berikut iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, apabila selesai pusingan itu, Jadual Ketiga menetapkan bahawa perlu dibuat senarai baharu yang disusun semula bagi pusingan berikutnya dengan menyenaraikan negeri-negeri mengikut susunan Raja-Rajanya yang sudah memegang jawatan itu.

“Oleh sebab dalam pusingan pertama semua sembilan Raja-Raja sudah mengisi jawatan Yang di-Pertuan Agong, maka pusingan kedua ini sepatutnya berjalan mengikut pusingan pertama. Jika ada Raja yang meminta dilambatkan gilirannya, waktu pusingan pertama dulu, ia tidak diambil kira dalam pusingan kedua ini.

“Oleh yang demikian, memandangkan enam negeri sudah selesai mengisi jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam pusingan kedua ini, maka berbaki tiga negeri yang belum iaitu Pahang, Johor dan Perak. Jika diikutkan, jadual pusingan terdahulu, giliran berikutnya ialah Pahang,” katanya.

Tambahnya, Majlis Raja-Raja tidak terikat untuk membuat pemilihan berdasarkan penggiliran semata-mata dan keputusan yang dibuat itu juga berdasarkan pertimbangan yang dinilai dalam mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, berkata apabila Yang di-Pertuan Agong meletakkan jawatan atau tidak lagi memegang jawatan itu, ia tidak memberi kesan kepada timbalannya.

“Hal ini kerana jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertuan Agong adalah dua jawatan yang berasingan dan ianya bergantung kepada Majlis Raja-Raja sama ada mahu mengekalkan timbalan atau melantik yang baharu.

“Ini terserah kepada Majlis Raja-Raja kerana kedua-dua lantikan itu boleh dibuat atas budi bicara dalam majlis itu sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, jika melihat kepada peruntukan Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong adalah satu jawatan pada peringkat Persekutuan yang pemilihannya dibuat atau dilakukan menerusi mesyuarat Majlis Raja-Raja.

1886 dibaca
Berita Harian X