Isnin, 7 Januari 2019 | 2:29pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap - Foto IMRAN MAKHZAN

Kerajaan serah kepada Majlis Raja-Raja - PM

KUALA TERENGGANU: Kerajaan tidak campur tangan dalam menentukan pengganti Yang di-Pertuan Agong dan menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan menghormati keputusan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan menyerahkan keputusan memilih pengganti kepada Majlis Raja-Raja.

“Itu soal raja-raja. Mereka yang tentukan. Kerajaan tidak campur tangan dalam perkara ini, kita terima sajalah apa keputusan Majlis Raja-Raja.

“Sama ada penggantinya ditentukan mengikut giliran atau apa, kita serahkan juga kepada Majlis Raja-Raja.

“Saya tak tahulah bagaimana mereka hendak tentukan (pengganti), sama ada melalui undi atau apa, terpulang pada raja-raja.

“Walaupun ikut adat mereka ada susunan mereka, tetapi mereka tidak terikat dengan susunan itu, mereka bebas buat keputusan lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Terengganu di Ladang Tok Pelam, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Pengerusi BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris ,dan barisan kepimpinan Pakatan Harapan Terengganu.

Sambil mengakui mendengar banyak khabar angin sebelum Sultan Muhammad V mengumumkan melepaskan takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong semalam, Dr Mahathir juga berharap penggantinya dapat diumumkan secepat mungkin.

“Banyak khabar angin saya dengar sebelum Baginda umum letak jawatan, terkejut juga, tapi tak terkejut sangatlah.

“Kita harap pengganti Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong dapat diumumkan secepat mungkin,” katanya sambil enggan mengulas ketika ditanya sekiranya beliau tahu sebab peletakan jawatan itu.

Dr Mahathir turut menasihatkan semua lapisan masyarakat terutama netizen di laman sosial supaya menghormati siapapun yang diputuskan oleh Majlis Raja-Raja sebagai pengganti Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Rakyat tidak ada hak tentukan siapa kena berhenti, siapa patut ganti. Kita terima sajalah apa keputusan raja-raja,” katanya.

2397 dibaca
Berita Harian X