Isnin, 7 Januari 2019 | 1:51pm
MENTERI Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) bersama Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Ambil Cakna Perdana Menteri bersama Warga Pendidik di TH Hotel, Kuala Nerus. - Foto IMRAN MAKHZAN

Kerajaan PH teruskan projek JPS Terengganu

KUALA NERUS: Kerajaan Persekutuan bersetuju meneruskan pelaksanaan lapan projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di negeri ini, dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM577 juta tahun ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata lapan projek akan diteruskan adalah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Kemasik, Kemaman membabitkan peruntukan sebanyak RM60 juta; RTB Guntung Luar, Setiu (RM5 juta); RTB Gong Kiat, Kuala Terengganu (RM7 juta); RTB Kuala Terengganu Utara, UMT (Universiti Malaysia Terengganu) dan kawasan sekitarnya (RM10 juta).

Beliau berkata, projek lain adalah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kemaman (RM300 juta), projek Muara Sungai Setiu (RM150 juta), projek Muara Sungai Merchang (RM43 juta) dan projek naik taraf pintu air Taman Rakyat, Dungun (RM1.5 juta).

“Keputusan kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek di negeri ini bertepatan dengan ucapan pembentangan Perdana Menteri ketika membentangkan Tonggak ke-tiga dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di bawah sub-tajuk “Agenda Pembangunan Wilayah Yang Seimbang Sebagai Keutamaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ambil Cakna Perdana Menteri bersama Warga Pendidik, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir di atas persetujuan meneruskan projek itu sekali gus membuktikan langkah mengamalkan budaya politik matang dan berhubungan baik membuahkan hasil yang menguntungkan rakyat.

Katanya, kunjungan Dr Mahathir ke negeri ini adalah kesungguhan semangat hubungan pro-aktif antara negeri dan Persekutuan yang perlu dihormati serta akan terus diperkukuhkan bagi pelaksanaan pembangunan wilayah yang seimbang untuk kepentingan rakyat di negeri ini.

Berita Harian X