Isnin, 7 Januari 2019 | 1:24pm

Majlis Raja-Raja adakan mesyuarat khas

KUALA LUMPUR: Enam Sultan dan Raja menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara hari ini.

Agenda mesyuarat khas hampir sejam Majlis Raja-Raja itu difahamkan adalah untuk menetapkan tarikh bagi mengadakan mesyuarat khas majlis memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Ia susulan peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V berkuat kuasa serta merta, semalam.

Enam kenderaan rasmi diraja memasuki Istana Negara mulai jam 10.10 pagi dan mula meninggalkan kompleks istana pada jam 12.25 tengahari.

Kenderaan diraja terbabit dilihat mempunyai lambang kebesaran Raja Perlis, Sultan Terengganu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Johor, Sultan Perak dan Sultan Kedah.

Bagaimanapun, kenyataan rasmi mengenai butiran mesyuarat berkenaan difahamkan akan dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syes Ahmad hari ini.

Berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong semalam, Ketua Negara baharu perlu dipilih untuk negara.

Mengikut amalan, Yang di-Pertuan Agong dipilih berdasarkan sistem penggiliran setiap lima tahun mengikut negeri.

Menurut senarai, giliran seterusnya adalah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Namun, takhta baginda kini dipangku anaknya Tengku Abdullah.

Jika Majlis Raja-Raja tidak boleh memilih Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu, giliran seterusnya adalah Johor yang diperintah Sultan Ibrahim Iskandar.

Bagaimanapun, Seksyen 1 Bahagian I Jadual Ketiga Perlembagaan menyebut syarat seseorang Raja akan dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ialah dewasa, tidak menolak untuk dipilih selain tidak ditolak Majlis Raja-Raja.

7477 dibaca
KELIHATAN kenderaan yang membawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan keluar dari Istana Negara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X