Ahad, 6 Januari 2019 | 8:01pm
Sultan Muhammad V mencemar duli berangkat hadir ke Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, pada Julai 2018. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Rakyat Kelantan terkejut tapi terima dengan hati terbuka

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan terkejut dengan keputusan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, masih ada yang tidak mengetahui berita yang dimaklumkan menerusi kenyataan daripada Istana Negara itu.

Peniaga, Siti Nur Fahimah Razali, 25, berkata, dia mengetahui mengenai perkara itu di laman sosial Facebook (FB) yang mula tular sejak lewat petang tadi.

Katanya, pada mulanya dia tidak mempercayai perkara itu kerana khabar angin mengenai peletakan jawatan ini sudah tersebar sejak minggu lalu.

“Bagaimanapun, sebaik terbaca di FB Harian Metro dan BH berserta kenyataan rasmi dari Istana Negara, saya mula mempercayainya.

“Sebagai rakyat Kelantan, sudah tentu saya terkejut kerana Tuanku seorang yang berjiwa rakyat, mengambil berat soal kebajikan rakyat dan cukup mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat.

“Biarpun sedih dengan keputusan Tuanku, rakyat Kelantan perlu menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan Zul Akmal Ali, 37, yang tidak mengetahui berita peletakan jawatan itu terkejut sebaik dimaklumkan perkara itu.

“Sebelum ini memang saya sudah dengar mengenai perkara ini dan saya pun tidak ambil berat sangat kerana beranggapan ia adalah khabar angin. Tidak sangka berita itu menjadi kenyataan hari ini,” katanya.

Peletakan jawatan Sultan Muhammad V itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam kenyataan hari ini dan menjelaskan ia dibuat selaras Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau dilaporkan berkata, baginda sudah memaklumkan keputusan itu secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

2639 dibaca
Berita Harian X