Ahad, 6 Januari 2019 | 11:49am

EKSKLUSIF: Syor wujud Akta Bahan Khayal atasi ketagihan gam

KUALA LUMPUR: Satu undang-undang khusus dikenali Akta Bahan Khayal dicadang diwujudkan tahun ini bagi menangani masalah ketagihan gam dan bahan khayal lain, terutama membabitkan kanak-kanak di negara ini.

Cadangan akta baharu itu akan dikemukakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ketika Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Undang-Undang Membanteras Dadah yang akan dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Khamis depan.

Selain gam, akta baharu itu jika dikuatkuasakan kelak dijangka turut meliputi kawalan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan penagihan bahan lain seperti petrol, bahan aerosol, cat sembur, cecair pemetik api.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata penubuhan akta baharu itu semakin perlu memandangkan tiada peruntukan undang-undang khusus ketika ini memberi kuasa kepada pihaknya bertindak terhadap mereka yang mengalami ketagihan gam.

Beri kuasa AADK tahan suspek

Syor lain, katanya ialah memberi kuasa kepada AADK melakukan penahanan bagi ujian saringan, manakala suspek yang disahkan mengalami ketagihan akan dihantar ke pusat pemulihan.

“Kita juga akan syorkan supaya undang-undang berkenaan memberi kuasa kepada individu itu sendiri atau pihak lain seperti ibu bapa mereka melakukan serah diri secara sukarela.

“Seterusnya AADK akan diberi tanggungjawab oleh ibu bapa suspek untuk memulihkan penagih dengan mengadakan pelbagai program termasuk kaunseling,” katanya kepada BH.

Pada awal minggu ini, TV3 melalui Buletin Utama dalam segmen Aduan Rakyat mendedahkan sarang menghidu gam di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Dalam rancangan itu, kanak-kanak berusia semuda lapan tahun dikesan dalam keadaan khayal dan berperangai tidak senonoh di kawasan yang menjadi laluan orang ramai itu, termasuk pelancong.

Zulkifli berkata, Akta Bahan Khayal yang disyorkan itu berbeza dengan undang-undang sedia ada seperti Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana ia lebih bersifat akta untuk ‘menyelamat’ bukannya menangkap penagih.


KETUA Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah. - Foto Azhar Ramli

Eksploitasi kanak-kanak

“Kebimbangan kita apabila perbuatan menghidu gam ini berisiko menjadi permulaan kepada kanak-kanak untuk terjebak dengan aktiviti berkaitan dadah, termasuk menjadi pengedar,” katanya.

Mengulas kebimbangan kegiatan ketagihan gam, Zulkifli berkata, kebarangkalian kanak-kanak yang menghidu gam terbabit dengan dadah sangat tinggi dan mereka boleh dieksploitasi sindiket dadah untuk menjalankan aktiviti mengedar.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membanteras aktiviti menghidu gam kerana kesannya kepada kesihatan amat buruk.

“Menghidu gam dan bahan khayal lain boleh membawa maut, otak mengecut dan masalah mental,” katanya.

Belakang Chow Kit jadi ‘port’

Sementara itu, tinjauan BH mendapati lorong belakang berhampiran sebuah hotel di Jalan Belia di Chow Kit, di sini, menjadi ‘port’ utama remaja yang majoritinya di bawah umur untuk melepaskan gian ketagihan gam.

Kebanyakan mereka berusia antara 13 hingga 16 tahun, dikatakan tidak segan silu menyedut beg plastik berisi gam untuk melayan ketagihan, dengan waktu ‘operasi’ dikatakan antara tengah malam hingga dinihari.

BH yang menerima maklumat mengenai kegiatan itu turun padang meninjau keadaan Jalan Belia, namun kawasan berkenaan lengang ketika itu susulan pendedahan dibuat media sebelum itu.

Kenderaan peronda polis bagaimanapun dilihat melakukan rondaan di sekitar kawasan berkenaan.

Ketika merapati kawasan ‘port’ berkenaan, wakil BH menemui beberapa tinggalan tin gam serta bekas bahan terbakar, sekali gus menjadi bukti kegiatan menghidu gam sememangnya aktif di sekitar Jalan Belia itu.

BH mendekati masyarakat termasuk penduduk setempat untuk mendapatkan maklumat dan mereka mengesahkan kegiatan remaja menghidu gam di kawasan terbabit memang serius.

453 dibaca
Berita Harian X