Sabtu, 5 Januari 2019 | 5:43pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam sidang media semasa hadir merasmikan The Marketplace Fair @ Penang di Pusat Konvensyen SPICE, Bayan Baru. - Foto Danial Saad

Amalan parti politik miliki syarikat media perlu dihentikan

GEORGETOWN: Syarikat media diingatkan supaya lebih profesional dalam memainkan peranan mereka untuk menyebarkan maklumat yang tepat kepada pembaca tanpa pembabitan mana-mana ahli politik.

Justeru, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata parti politik atau ahli politik tidak seharusnya memilik syarikat media ​​​​​​​ bagi memastikan syarikat media bebas.

“Kami tahu beberapa akhbar dimiliki oleh parti politik dan sudah tiba masanya untuk amalan ini dihentikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pameran kewangan MarkdetPlace Fair@Penang anjuran Bursa Malaysia di sini hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata bidang perniagaan, pendidikan dan media tidak harus diadunkan dengan politik.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata Kabinet bersetuju untuk menaikkan komisen jualan bagi bahan bakar sebanyak tiga sen bagi menampung sebarang kerugian kepada pengusaha stesen minyak.

Menurutnya, kenaikan komisen itu adalah tinggi selepas kerajaan menetapkan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan mulai 12 tengah malam tadi.

Guan Eng berkata penurunan harga runcit produk petroleum terbaru ini menawarkan situasi menang-menang bagi semua pihak kerana rakyat kini boleh menikmati harga bahan bakar yang lebih murah berdasarkan harga global walaupun jika ia meningkat di pasaran dunia.

“Bagi melindungi pengguna daripada kenaikan harga pasaran global, harga runcit untuk produk petroleum akan dihadkan pada harga RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel,” katanya.

Semalam kerajaan mengumumkan harga RON95 serta RON97 diturunkan sebanyak 27 sen menjadi RM1.93 dan RM2.23 seliter, manakala harga diesel turun 14 sen menjadi RM2.04 seliter bagi tempoh 5 hingga 11 Januari.

Guan Eng berkata harga runcit produk petroleum akan diselaraskan semula setiap minggu supaya pengguna boleh mendapat manfaat daripada sebarang perubahan dengan cepat sejajar dengan aliran penurunan harga minyak di pasaran dunia ketika ini. – BERNAMA

Berita Harian X