Sabtu, 5 Januari 2019 | 4:30pm
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian 'The Bursa Malaysia Marketplace Fair' hari ini. - Foto BERNAMA

Kenaikan komisen 3 sen mampu tampung kekurangan - Guan Eng

GEORGETOWN: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, hari ini berkata keputusan kerajaan untuk menaikkan komisen pengusaha stesen minyak akan dapat menampung sebarang kekurangan akibat mekanisme apung harga minyak mingguan.

Beliau berkata, Kabinet sudah memutuskan untuk menaikkan komisen mereka sebanyak tiga sen, yang mana ia digambarkan sebagai jumlah yang besar.

“Sejujurnya, saya tidak tahu sama ada angka itu (kerugian sehingga RM40 juta) adalah tepat tetapi saya fikir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution, sedang membincangkannya. Mana-mana analisis akan dilakukan oleh kementeriannya.

“Pada masa sama, kerajaan sudah memutuskan untuk menaikkan komisen mereka sebanyak tiga sen. Jadi, saya fikir ia akan dapat menampung sebarang kekurangan,” katanya kepada media selepas merasmikan Market Place Fair @ Penang oleh Bursa Malaysia di Pusat Konvensyen Spice di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pengendali stesen minyak yang mendakwa mereka bakal kehilangan sehingga RM40 juta berikutan penurunan harga pam petrol.

Presiden Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata penurunan harga bahan api sebanyak 14 sen seliter bagi diesel dan 27 sen seliter bagi petrol RON95 dan RON97 akan mengakibatkan kerugian runcit petroleum sebanyak RM30 juta hingga RM40 juta pada stok minyak sedia ada.

Semalam, Guan Eng mengesahkan penggunaan sistem terapung yang diuruskan ketika mengumumkan kadar petrol baru, yang akan berkuat kuasa dari hari ini hingga 11 Januari.

Harga runcit petrol RON95 dan RON97 serta diesel sudah dikurangkan. RON95 akan dijual pada harga RM1.93 seliter (27 sen lebih rendah), RON97 pada RM2.23 seliter (27 sen lebih rendah) dan diesel pada RM2.04 seliter (14 sen lebih rendah).

Pengumuman harga runcit akan dibuat setiap Jumaat dan harga baru runcit petrol bermula Sabtu hingga Jumaat.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata kebimbangan utama kerajaan adalah untuk memastikan pengguna mendapat faedah daripada kejatuhan harga minyak, oleh itu penetapan mingguan harga minyak digunakan.

Sementara itu, beliau juga memberi jaminan kepada pengguna bahawa harga RON95 dan diesel sudah dihadkan pada RM2.20 dan RM2.18 seliter.

“Apabila harga bahan api berkurang, mereka akan mendapat manfaat, tetapi apabila berlaku kenaikan harga, ia hanya akan sampai harga yang dihadkan. Kerajaan akan menyediakan subsidi bahan bakar untuk mengimbangi perbezaan.

“Ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dan formula menang menang untuk semua. Inilah yang kita katakan ‘Kepala saya menang, ekor anda kalah’,” tambahnya.

Mengenai kemungkinan peniaga petrol yang mengehadkan jam operasi harian mereka hingga 18 jam berbanding 24 jam berikutan apungan harga minyak mingguan, Guan Eng berkata beliau tidak tahu mengenai kemungkinan itu.

“Sekali lagi, ini di bawah (Datuk Seri) Saifuddin tetapi daripada apa yang saya diberitahu, operasi sekarang seperti biasa,” katanya.

Ditanya sama ada kejatuhan harga bahan bakar akan memberi kesan kepada ekonomi, Guan Eng berkata keadaan itu perlu dilihat secara menyeluruh.

Berita Harian X