Sabtu, 5 Januari 2019 | 1:19pm
Gambar dari video rakaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang merakam gambar ‘selfie’ mereka.

Keletah 'selfie' Dr Mahathir dan isteri tarik perhatian netizen

KUALA LUMPUR: Video memaparkan keletah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menarik perhatian pengguna media sosial.

Video berdurasi sembilan saat dan dimuat naik di laman Facebook Kelab Che Det itu memaparkan Dr Mahathir cuba merakam gambar 'selfie' bersama isterinya.

Difahamkan, video itu dirakam secara tidak sengaja apabila kamera telefon bimbitnya ditetapkan dalam mod video.

Dalam video terbabit, Dr Mahathir meminta isterinya supaya berdiri kerana wajah Dr Siti Hasmah pada mulanya tidak kelihatan dalam paparan telefon bimbitnya.

"Tak nampak...ok berdiri," katanya.

Dr Siti Hasmah yang terkejut dengan permintaan suaminya ketika itu kemudian bertanya: "Apa dia?"

Pentadbir akaun Facebook Kelab Che Det turut memuat naik hasil gambar 'selfie' pasangan suami isteri berkenaan di ruangan komen.

Video yang dimuat naik sejak petang semalam sehingga kini ditonton lebih 180,000 pengguna media sosial dan mendapat lebih 1,600 perkongsian.

Beberapa pengguna media sosial menyuarakan rasa teruja melihat keletah pasangan suami isteri terbabit.

"Ada benda yang saya tak berapa setuju dengan Tun Mahathir tapi tiap kali ada video Tun Mahathir dan isteri, saya sungguh terharu sepasang suami isteri telah ditemukan bahagia sampai lanjut usia.... semoga Tun Mahathir dan isteri sihat selalu. Amin," kata RaiMee Abaden.

"Tun (Mahathir) dan isteri salah satu contoh pasangan suami isteri yang utuh. Moga rakyat mencontohi pasangan ini saling melengkapi dalam sebuah keluarga," kata pengguna media sosial dikenali Mary Rostiah LO.

https://www.facebook.com/kcdmalaysia/videos/570806233381587/?t=5

1763 dibaca
Berita Harian X