Jumaat, 4 Januari 2019 | 3:33pm
LEE Lam Thye

Syor mansuh Seksyen 309 Kanun Keseksaan - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan supaya tidak menghukum individu yang cuba membunuh diri kerana mereka bukan penjenayah, sebaliknya menderita penyakit mental seperti kemurungan.

Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata seksyen itu perlu dimansuhkan kerana tindakan cuba membunuh diri akibat penyakit mental perlu diberi rawatan dan pemulihan psikiatri.

Beliau berkata, melayani individu yang tertekan atau pesakit mental sebagai penjenayah amat tidak berperikemanusiaan.

“Sebelum ini, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Penyiasatan dan Perundangan) Bukit Aman Datuk Mohd Zakaria Ahmad mendedahkan statistik polis menunjukkan lebih 500 individu membunuh diri atau cuba membunuh diri setiap tahun sejak empat tahun lalu.

“Beliau berkata, seramai 1,696 individu mati akibat bunuh diri, manakala 625 lagi gagal dalam cubaan membunuh diri antara 2014 dan Februari tahun lalu. Daripada jumlah itu, 1,282 adalah lelaki manakala 414 adalah wanita.

”Antara sebab dinyatakan mendorong mereka membunuh diri adalah tekanan perasaan, masalah kewangan, keluarga dan hubungan serta masalah belajar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, ramai individu terutama golongan belia menghubungi Befrienders KL bagi berkongsi masalah.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, Befrienders KL menerima 5,217 e-mel dan 26,927 panggilan pada 2017 berbanding 3,443 e-mel dan 24,821 panggilan pada tahun sebelumnya.

“Isu berkaitan hubungan dinyatakan sebagai antara sebab utama masalah mereka, diikuti masalah belajar atau kewangan (19.3 peratus) dan kesihatan mental (18.3 peratus).

“Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 mengenai kesihatan mental dalam kalangan belia mendedahkan bahawa seorang daripada lima remaja berhadapan dengan tekanan; dua daripada lima mengalami kegelisahan; 11 peratus terfikir untuk membunuh diri dan 10 peratus mencuba untuk membunuh diri,” katanya.

Beliau berkata, rancangan Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan semula Daftar Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM) sebelum akhir tahun ini adalah tepat pada masanya kerana negara kekurangan pangkalan data komprehensif bagi kes berkenaan.

“Semua pihak perlu menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengenai NRSM kerana daftar ini boleh digunakan untuk menggalakkan dan memudahkan penyelidikan mengenai kes bunuh diri.

“NSRM ditubuhkan pada 2007 untuk membolehkan orang ramai mengakses data mengenai bunuh diri di negara ini. Walau bagaimanapun, selepas dua daftar diterbitkan, laman web rasmi NRSM tidak lagi wujud pada 2009,” katanya.

Katanya, beliau berharap kementerian dapat mengumumkan 2019 sebagai tahun untuk menggalakkan kesihatan mental dan menggunakan semua sumber yang ada untuk tujuan itu memandangkan Dr Dzulkefly menyatakan komitmen untuk menangani isu kesihatan mental di negara ini.

“Kempen kesedaran mengenai kesihatan mental termasuk mengatasi stigma terhadap pesakit mental mesti dilaksanakan dan ia perlu membabitkan majikan, pekerja dan pihak berkepentingan berkaitan.

“Lebih banyak kaunselor dan ahli psikologi mesti dilatih untuk membantu mereka yang mengalami kemurungan dan masalah mental lain,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan dan syarikat insurans juga perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan menjadikan masalah berkaitan mental sebagai sebahagian penyakit yang diberikan perlindungan insurans.

“Isu berkaitan kesihatan mental perlu ditangani termasuk mengatasi stigma terhadap kesihatan mental dan penyakit mental. Oleh itu, perlu ada pendekatan holistik terhadap aspek kesihatan awam membabitkan kolaborasi pelbagai sektor serta menyediakan latihan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu menangani masalah psikososial yang menyumbang kepada penyakit mental.

“Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan juga harus bekerjasama untuk membantu menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan belia,” katanya.

Berita Harian X