Jumaat, 4 Januari 2019 | 3:18pm

Agong solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail Petra

KOTA BHARU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Baginda yang memakai jubah berwarna krim, tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari, diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Nazran Muhammad; dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Kira-kira 5,000 jemaah menghadiri solat Jumaat itu yang diimankan Imam Muda masjid berkenaan, Abdul Baari Abdullah.

Abdul Baari turut menyampaikan khutbah mengenai melakukan perbuatan tanpa usul periksa sehingga mendatangkan keburukan kepada diri sendiri.

“Jangan kita percayakan sesuatu perkara dan terus menyebarkan kepada orang lain tanpa menyiasat terlebih dahulu, sehingga perbuatan itu akan mengaibkan diri kita sendiri.

“Perbuatan itu tidak baik untuk semua jika kita bersama menyebarkan perkara tidak betul, walhal perkara sebenar belum diketahui sepenuhnya,” katanya.

Sebaik solat Jumaat, Yang di-Pertuan Agong bersama jemaah turut menunaikan solat sunat Hajat bagi mendoakan supaya Baginda dikurniakan kesihatan berpanjangan dan kekuatan kerana sudah kembali bertugas.

Baginda sempat bersalaman dengan jemaah sebelum berangkat pulang.

7746 dibaca
SULTAN Muhammad V (kiri) berkenan mengaminkan bacaan doa selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al Sultan Ismail Petra Kunang Kerian. - Foto BERNAMA
Berita Harian X