Jumaat, 4 Januari 2019 | 3:12pm
KHAIRUL Annuar Abdul Aziz. - NSTP/

Pengusaha stesen minyak tanggung pelbagai kos - PDAM

KUALA LUMPUR: Kerugian pengusaha stesen minyak bukan hanya disebabkan penurunan harga minyak, sebalik peningkatan kos penggajian pekerja, elektrik dan caj bayaran kad kredit serta debit turut menyumbang.

Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz mengakui bebanan kos paling tinggi ditanggung pengusaha stesen minyak adalah membabitkan penggajian pekerja yang kini sudah meningkat lebih sekali ganda.

Katanya, jika 10 tahun lalu gaji pekerja antara RM500 hingga RM800 sebulan termasuk kerja lebih masa, kini meningkat antara RM1,100 hingga RM1,600 sebulan.

“Jika dulu kita meletakkan lebih ramai pekerja untuk mengisi minyak, kini lebih ramai pekerja di bahagian kedai menyebabkan lebih 50 peratus daripada kos keseluruhan operasi kita adalah untuk penggajian pekerja.

“Sistem layan diri yang diperkenalkan kerajaan sebenarnya masih tidak menyelesaikan masalah kos operasi yang tinggi oleh stesen minyak. Ini kerana pekerja masih tidak dapat dikurangkan kerana tumpuan perniagaan adalah kepada kedai yang mana kita masih memerlukan ramai pekerja di tambah beberapa syarat yang dikenakan syarikat minyak.

“Ada syarikat minyak yang menetapkan pekerja masih perlu diletakkan di bahagian depan (pam) untuk perkhidmatan pelanggan seperti mengelap cermin kereta. Kaunter jual beli juga perlu ditambah dan beberapa syarat lain ditetapkan syarikat minyak, jadi perkara ini perlu dipatuhi kerana ia ada dalam kontrak dan ada Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang perlu dicapai,” katanya dihubungi BH, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kebimbangan PDAM dengan pelaksanaan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan yang akan dilaksanakan kerajaan.

Sebelum ini, dilaporkan pengusaha stesen minyak di negara ini terpaksa beroperasi 18 jam sehari berbanding 24 jam di sesetengah lokasi berikutan penurunan mendadak harga minyak dan langkah itu terpaksa dibuat bagi mengurangkan kos operasi mereka.

Petang ini, kerajaan dijangka mengumumkan mekanisme penetapan harga minyak selepas Kabinet panjang lebar membincang isu itu, Rabu lalu berikutan desakan oleh PDAM yang mahu komisen pengusaha stesen minyak dinaikkan bagi mengurangkan kerugian yang ditanggung.

Khairul Annuar menjelaskan sistem layan diri yang diperkenalkan di stesen minyak tidak dikuat kuasa sepenuhnya menyebabkan stesen minyak masih memerlukan pekerja yang melakukan kerja perkhidmatan pelanggan di bahagian depan stesen.

Katanya, persaingan antara syarikat minyak berkaitan perkhidmatan pelanggan juga menyebabkan stesen minyak terpaksa menambah pekerja dengan pelbagai produk stesen yang ditawarkan.

Beliau menjelaskan peningkatan kos operasi juga disebabkan kos elektrik yang semakin meningkat dari tahun ke tahun yang bukan hanya disebabkan perkhidmatan stesen 24 jam tetapi kemudahan lain yang disediakan untuk pelanggan.

“Jika dulu stesen minyak tidak beroperasi 24 jam, kita ada enam jam menutup operasi yang mana kos elektrik juga boleh dikurangkan. Sekarang dengan operasi 24 jam, kita ada perkhidmatan lain disediakan seperti mesin ATM, surau, tandas semuanya menggunakan kemudahan elektrik.

“Sepuluh tahun dulu, saya hanya membayar RM5,000 sebulan untuk bil elektrik kini ia meningkat RM10,000 sebulan apabila kita beroperasi 24 jam dan perkenalkan pelbagai perkhidmatan lain,” katanya.

Beliau menjelaskan penggunaan kad kredit di stesen minyak juga menyebabkan pengusaha menanggung kos sebanyak 0.9 hingga satu peratus (kad kredit) begitu juga kad debit.

“Jika dulu hanya 10 hingga 20 peratus saja pengguna kad kredit, kini jumlahnya meningkat sehingga 70 peratus. Bayangkan berapa banyak kos yang kami tanggung.

“Bagi kad debit pula, stesen minyak terpaksa menampung kos antara 0.5 hingga 0.8 peratus bagi setiap satu kad. Kami tidak boleh mengenakan kos itu kepada pengguna seperti yang dilaksanakan dalam industri lain. Lebih sukar lagi sekarang, jumlah pengguna kad debit juga semakin meningkat,” katanya.

Ditanya kerugian ditanggung stesen minyak akibat penurunan harga minyak, katanya dalam satu malam, penurunan harga minyak menyebabkan stesen minyak kerugian antara RM15,000 hingga RM25,000 bergantung kepada jumlah stok.

Katanya, ini berlaku kerana pengusaha terpaksa menanggung kerugian akibat perbezaan antara harga minyak yang dijual dengan harga kos bahan api yang dibeli.

“Kesan penurunan paling terasa pada permulaan ia dilaksanakan dan biasanya jika ada kenaikan harga biasanya akan naik antara satu hingga dua sen yang mana keuntungannya masih lebih rendah berbanding kos ditanggung akibat penurunan harga,” katanya.

Berita Harian X