Khamis, 3 Januari 2019 | 4:06pm
MOHD Asri Zainul Abidin. - NSTP/Azhar Ramli

Mufti akan beri penjelasan pemecatan 25 imam - Pengarah JAIPs

KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan memberikan penjelasan penuh mengenai pemecatan 25 orang imam kariah masjid di negeri itu dalam kuliah khas selepas solat Maghrib di Masjid Alwi di sini, malam ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan, berkata demikian ketika dihubungi melalui WhatsApp hari ini.

“Insya-Allah Mufti (Mohd Asri) akan jawab dalam kuliah dia malam ini di Masjid Alwi, Kangar,” katanya ringkas.

Hazman turut enggan mengulas lanjut mengenai tindakan pihaknya yang tidak menyambung kontrak lantikan imam di beberapa masjid selain melantik orang luar kawasan mengimamkan solat di masjid tertentu.

Selasa lalu, seramai 25 imam kariah sekitar Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat berkuatkuasa Selasa lalu.

Surat yang dikeluarkan JAIPs bertarikh 31 Disember 2018 itu dilihat dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada rekod rujukan pada bahagian atas surat ditulis, selain notis yang dikeluarkan itu dianggap terlalu singkat.

1509 dibaca
Berita Harian X