Khamis, 3 Januari 2019 | 1:44pm

Pengarang pemikiran kreatif Malaysia meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pengarang buku pemikiran kreatif, Datuk Jaafar Abdul Rahim meninggal dunia di Wad Institut Urologi & Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 11.25 malam tadi.

Anak sulung Allahyarham, Zuraida Jaafar, berkata bapanya dimasukkan ke hospital dua minggu yang lalu disebabkan serangan jantung.

“Selain serangan jantung, beliau mengalami masalah buah pinggang dan berlaku jangkitan kuman pada tempat dialisis di lehernya.

“Sepanjang dirawat di HKL juga, beliau berada dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri selama tiga hari,” katanya.

Jenazah Jaafar dibawa ke kediamannya di Ampang Jaya dan seterusnya ke Masjid Kampung Melayu Ampang untuk urusan mandi dan solat jenazah sebelum akan dikebumikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Kemensah, Hulu Klang dekat sini.

Jaafar yang berasal dari Kuala Kurau, Perak ialah pesara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan jawatan terakhirnya ialah Pegawai Perancang Bahasa, Bahagian Teori dan Kritikan Sastera.

Beliau dikenali sebagai pencetus pemikiran 4K, iaitu kerohanian, kebitaraan, kesaintifikan dan kekreatifan yang terhasil daripada pemikiran lateral yang dipelopori Edward de Bono.

Antara karya tulisan Jaafar ialah Aksioma, selain banyak menghasilkan esei dan kritikan.

344 dibaca
Berita Harian X