Khamis, 3 Januari 2019 | 1:37pm
MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. - Foto Salhani Ibrahim

Pecat imam: Jangan cepat menuduh - Mufti Perlis

KANGAR: Semua pihak diminta mendapatkan maklumat yang sahih berhubung pemecatan 25 imam kariah masjid di Perlis agar tidak terjerumus dalam kancah fitnah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata urusan perlantikan imam dan penyambungan elaun adalah terletak di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Bagaimanapun beliau berkata, JAIPs pula tidak mempunyai kuasa penuh melantik atau tidak menyambung kontrak jawatankuasa kariah masjid melainkan dengan kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang secara tidak langsung diletak di bawah Istana Perlis.

“Hanya dengan titah dan perkenan istana sahaja hal-hal (perlantikan dan pemecatan imam) itu boleh dilakukan.

“Maka, segala ulasan yang melampau berada di bawah undang-undang ini,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebooknya hari ini.

Mohd Asri turut mempersoalkan dakwaan sesetengah pihak bahawa kesemua imam itu dipecat hanya kerana tidak mengikut arahan yang dikeluarkan oleh JAIPs.

“Benarkah JAIPs memecat beberapa imam kerana mereka (membaca) qunut dan membaca bismillah kuat di dalam solat?

“Atau kerana mereka sudah sampai tahap umur? Atau menggunakan masjid untuk mainan politik kepartian? Atau kerana ‘ponteng’ tugas ambil elaun? Atau kerana menjadikan masjid markas parti atau ada masalah lain?

“Persoalannya, kenapa pula ada imam yang benar-benar mengikut garis panduan MAIPs pun ditamatkan?” katanya.

Berikutan itu, beliau akan mengulas persoalan itu secara lebih teliti dalam kuliah khas malam ini di Masjid Alwi, Kangar.

Hari ini, seramai 25 imam kariah sekitar Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat berkuatkuasa Selasa lalu.

Surat yang dikeluarkan JAIPs bertarikh 31 Disember 2018 itu, dilihat seakan dibuat secara tergesa-gesa tanpa menyatakan sebab pemecatan bermula 1 Januari 2019 sehingga tiada nombor rujukan surat diisi dalam kurungan pada bahagian atas surat.

Berita Harian X