Khamis, 3 Januari 2019 | 10:43am
SURAT pemecatan yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam perlis (JAIPs).

JAIPs pecat 25 imam

KUALA LUMPUR: Seramai 25 imam kariah sekitar Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat berkuatkuasa Selasa lalu.

Surat yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bertarikh 31 Disember 2018 itu, dilihat seakan dibuat secara tergesa-gesa tanpa menyatakan sebab pemecatan bermula 1 Januari 2019 sehingga tiada nombor rujukan surat diisi dalam kurungan pada bahagian atas surat.

Antara imam yang dipecat adalah dari Masjid Batu 2, Masjid Kampung Guar Syed Alwi, Masjid Jalan Santan, Masjid Telok Jambu dan Masjid Padang Katong.

Semua imam terbabit sebelum ini dikatakan tidak mempunyai masalah dan disenangi dalam kalangan anak kariah masing-masing.

Sumber berkata, pemecatan 25 imam dan pertukaran lebih 10 imam ke kariah lain dilakukan pihak berkuasa agama negeri yang menganggap mereka tidak sehaluan serta tidak mematuhi amalan dan cara yang diamalkan Perlis.

Beliau berkata, pemecatan dan pertukaran juga bersangkut paut dengan tindakan imam melakukan sesuatu perkara yang dianggap baik untuk kariah, tetapi tidak kepada pihak berkuasa agama.

“Lebih pelik ada imam dipecat dan ditukar kariah kerana melakukan aktiviti mengimarahkan masjid seperti nasyid, gotong-royong serta program ceramah sehingga ada antara aktiviti anjuran masjid ini menarik perhatian dan disiarkan dalam televisyen berbayar.

“Kebanyakan imam terbabit adalah yang disukai dan dipersetujui ahli kariah atas faktor kepemimpinan, keilmuan dan kesungguhan mereka memartabatkan syiar Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi amalan di negara ini.

“Mereka yang dipecat juga turut diberi amaran tidak membuat sebarang tindakan yang konon akan memalukan pihak berkuasa agama Perlis dan jika ia berlaku, mereka tidak akan memperoleh bayaran saguhati,” katanya yang ditemui hari ini.

Sumber berkata, tindakan ini juga jelas menunjukkan ia adalah rentetan pemecatan 16 guru takmir yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pihak berkaitan.

“Jika melihat kepada pemecatan dua imam Masjid Kampung Guar Syed Alwi, ia menjadi satu tindakan yang sangat mengejutkan semua pihak terutama ahli kariah.

“Sehingga saat ini, difahamkan beberapa ahli jawatankuasa kariah masjid turut meletak jawatan sebagai tanda tidak berpuas hati dengan pemecatan imam mereka.

“Sudah pastinya pihak berkuasa agama akan tampil mengatakan pemecatan dibuat atas faktor usia ataupun gagal mematuhi peraturan agama negeri, tetapi jika disiasat semua imam terbabit tidak melanggar peraturan malah ada yang sanggup ikut cara pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga dimaklumkan perkara ini akan dibawa ke peringkat kerajaan negeri oleh beberapa kariah kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa agama yang dilihat mempunyai agenda tersembunyi.

“Difahamkan Ahli Jawatankuasa Masjid Beseri dan beberapa kariah lain akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana dan Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Ruzaini Rais malam ini, yang diharapkan dapat menyelesaikan isu berkaitan,” katanya.

Difahamkan jemaah Masjid Santan akan mengadakan bantahan aman susulan pemecatan imam kawasan berkenaan selepas solat Jumaat esok.

Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi daripada JAIPs setakat ini gagal.

5551 dibaca
Berita Harian X