Isnin, 31 Disember 2018 | 5:35pm
- Foto Hiasan

Harga RON97, RON95, diesel kekal untuk beberapa hari - Guan Eng

PUTRAJAYA: Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel dikekalkan untuk beberapa hari pada RM2.50 seliter bagi RON97, RM2.20 seliter bagi RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata penetapan harga runcit produk petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun baharu ini.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit dan pada masa sama, melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

“Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna memperoleh manfaat penurunan harga minyak dengan segera.


LIM Guan Eng

“Namun, apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada mengalami kesan kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengekalan harga pada kadar sekarang dikekalkan sehingga pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar pada pertengahan 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan mengikut harga pasaran.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata Kerajaan Persekutuan berhasrat melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

“Bagaimanapun, dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang terbabit, kerajaan juga perlu mengkaji permintaan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) yang menentang penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan.

“PDAM juga meminta diteliti semula kadar Margin Pengusaha Stesen Minyak yang menjadi salah satu komponen di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), yang pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum," katanya.

Guan Eng berkata, pertimbangan dan persetujuan Kabinet yang akan bermesyuarat pada Rabu ini dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan diperoleh berhubung permintaan PDAM dan memastikan penetapan harga runcit produk petroleum yang paling optimum.

Katanya, Perdana Menteri akan bertemu dengan PDAM dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, Guan Eng dilaporkan berkata, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai hari ini berikutan penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan, sejajar dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia ketika ini.

Beliau dipetik berkata, perkara itu akan memberi kelebihan kepada pengguna jika harga minyak dunia naik, namun disebabkan trend harga minyak menurun, kerajaan bersedia menukarkan asas penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan.

3651 dibaca
Berita Harian X