Sabtu, 29 Disember 2018 | 6:14pm
Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz. - NSTP/Faiz Anuar

Stesen minyak akan beroperasi maksimum 18 jam, kurangkan kos operasi

SHAH ALAM: Pengusaha stesen minyak di negara ini terpaksa beroperasi maksimum 18 jam berbanding 24 jam di sesetengah lokasi berikutan penurunan mendadak harga minyak yang dijangka bermula Isnin ini.

Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata pengusaha stesen minyak terpaksa berbuat demikian untuk mengurangkan kos operasi masing-masing.

“Kami sudah berbincang dengan pihak kerajaan supaya apungan dilakukan secara bulanan dan kami agak terkilan kerana pengumuman dilakukan hanya seminggu sebelum pelaksanaan dengan kami tidak sempat membuat persediaan.

“Penurunan sebanyak 30 sen ini akan menyebabkan kami kerugian sebanyak RM42 juta dalam tempoh satu malam sahaja dan siapa mahu bayar ganti rugi kepada kami?” katanya pada sidang media selepas perjumpaan khas pengusaha stesen minyak, di Kelab Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, PDAM juga meminta kerajaan menaikkan komisen pengusaha stesen minyak bagi mengurangkan kerugian yang ditanggung.

Katanya, kali terakhir komisen dinaikkan adalah pada 2008 dan sehingga kini pengusaha menerima komisen sebanyak 12.19 sen untuk petrol dan tujuh sen untuk diesel.

“Sudah 10 tahun kami menerima komisen yang sama, sama ada harga minyak naik atau turun, justeru kami mahu kerajaan naikkan komisen ke 15 sen selain selaraskan komisen petrol dan diesel.

“Jika permintaan kami tidak diterima, kami tiada pilihan lain selain daripada mengurangkan waktu operasi stesen dan juga mengurangkan pekerja,” katanya.

Khairul Annuar berkata, setiap tahun berpuluh-puluh pengusaha stesen minyak terpaksa gulung tikar ekoran tidak mampu menanggung kos operasi yang tinggi dan dijangka lebih ramai lagi akan menghentikan operasi sekiranya apungan dilakukan secara mingguan.

Bagaimanapun, katanya, pelanggan tidak perlu risau kerana pihaknya akan memastikan bekalan minyak mencukupi.

Sementara itu, kira-kira 3,000 pemilik stesen minyak di seluruh negara akan menandatangani petisyen yang akan dihantar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meminta supaya apungan dilakukan secara bulanan dan menaikkan serta menyelaraskan komisen pengusaha stesen minyak.

1723 dibaca
Berita Harian X