Sabtu, 29 Disember 2018 | 2:43pm

Hubungan saya dan Nurul Izzah ibarat keluarga - Mujahid

GEORGETOWN: Hubungan kekeluargaan yang akrab menyebabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menulis surat terbuka kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Dr Mujahid berkata, surat terbuka yang dikarang menggunakan Bahasa Melayu klasik itu adalah perkara lazim, berikutan beliau amat menghargai dan meminati nilai sastera.

“Saya tidak sangka surat itu akan menjadi ‘trendy’ sedangkan ia hanya satu surat yang jujur daripada ‘senior’ kepada ‘junior’, malah hubungan keluarga saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga amat rapat sejak sekian lama.

“Saya menyaksikan pendakian Nurul Izzah dalam politik, sudah tentu ia satu kejutan apabila beliau tarik diri daripada jawatan tertinggi parti.

“Ini juga bukan kali pertama saya tulis menggunakan bahasa sastera begini, di Parlimen pun ramai yang tahu saya suka berpantun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program ‘Rahmah’ di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.

Ditanya adakah Nurul Izzah membalas warkah terbuka itu, Dr Mujahid berkata, perkara itu adalah rahsia dan ia tidak akan dimaklumkan.

Dr Mujahid berkata, beliau juga sudah ‘biasa’ dengan sikap netizen yang mempersendakan tindakannya yang menulis surat terbuka kepada Nurul Izzah.

“Saya sudah biasa dengan perangai netizen. Saya anggap perkara ini menarik.

“Mereka (netizen) sepatutnya berterima kasih kepada saya. Kerana saya lah sekarang semua orang menggunakan perkataan kanda dan dinda,” katanya.

Selasa lalu, Dr Mujahid menulis surat terbuka kepada Nurul Izzah supaya memikirkan semula keputusannya yang meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Dr Mujahid menulis surat berkenaan menerusi media sosial Facebook, ketika beliau dalam perjalanan dari bandar bersejarah Cordova ke Madrid.

2354 dibaca
Hubungan kekeluargaan yang akrab menyebabkan Mujahid menulis surat terbuka kepada Nurul Izzah. - Foto NSTP
Berita Harian X