Sabtu, 29 Disember 2018 | 1:42pm
Dr Wan Azizah menyampaikan sumbangan kepada seorang daripada 400 kanak-kanak yang terdiri daripada ahli keluarga yang berpendapatan di bawah RM3,000 pada Karnival Aspek Wanita Pandan dan Program Back To School di Kampung Pandan hari ini. - Foto BERNAMA

Kerajaan sasar 10,000 lay kaunselor tahun depan - TPM

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 10,000 lay kaunselor pada tahun hadapan bagi membendung masalah mental yang semakin membimbangkan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sehingga tahun 2018 sebanyak 5,500 individu berjaya dilatih sebagai Lay Kaunselor dalam program yang berkonsepkan sukarelawan tersebut.

“Pada tahun hadapan kita akan memperkasakan lagi program ini (Lay Kaunselor) untuk gandakan jumlah yang ada kini.

“Sesiapa yang ingin menjadi lay kaunselor perlu melalui ujian saringan dan pergi kursus selama tiga hari untuk mendapatkan sijil kelayakan,” katanya selepas menghadiri Karnival Aspek Wanita Pandan dan Program Back To School di Kampung Pandan Dalam di sini.

Program lay kaunselor yang bermula sejak 2015 tersebut merupakan kerjasama antara Lembaga Kaunselor Malaysia dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang ia berperanan memberikan khidmat nasihat serta bimbingan kepada ahli komuniti yang memerlukan.

Sementara itu Dr Wan Azizah berkata, sehingga November 2018 sebanyak 26,601 orang wanita telah menerima manfaat daripada program Wanita Anti Jenayah (WAJA), Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita, Meja Bulat Elemination of Violence Against Women (EVAW) dan Klinik Undang-undang.

Katanya program tersebut yang dilaksanakan oleh JPW itu bertujuan memberi pendedahan dalam aspek perundangan, hak-hak wanita dan maklumat saluran bantuan kepada golongan wanita yang memerlukan.

Selain itu katanya kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan program pemerkasaan wanita bagi memastikan golongan itu menikmati kehidupan yang sejahtera dan membolehkan mereka menyumbang secara aktif dan berkesan kepada pembangunan negara.

Antara program tersebut adalah program pengupayaan ekonomi wanita melalui kaedah Community Based Enterprise (CBE) yang dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Wanita Negeri di bawah JPW.

“Golongan wanita termasuk suri rumah dan ibu tunggal yang berpendapatan rendah juga akan dibimbing oleh pengusaha perniagaan, individu berkemahiran, ataupun usahawan yang telah berjaya dalam bidang masing-masing agar mampu menjana pendapatan melalui bidang keusahawanan,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Anggota Parlimen Pandan berkata klinik guaman yang diadakan semasa Program Santuni Rakyat di Pandan Indah pada 29 Sept lepas akan diteruskan pada tahun hadapan.

Katanya dengan adanya klinik guaman tersebut penduduk di Parlimen Pandan boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma daripada pihak guaman.

Dalam pada itu katanya Pusat Khidmat Parlimen Pandan telah diarahkan untuk sentiasa turun padang meninjau masalah penduduk di kawasan Parlimen tersebut.

“Antara masalah rakyat yang perlu diberi perhatian dan diambil tindakan segera ialah isu banjir, tanah runtuh, kebakaran, ziarah masyarakat daif, sakit serta kematian,” katanya.

Pada Karnival Aspek Wanita Pandan dan Program Back To School tersebut Dr Wan Azizah menyampaikan cek sumbangan kepada lima sekolah di Parlimen Pandan untuk tujuan penyelenggaraan dan membaik pulih fasiliti serta kelengkapan sekolah.

Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seraya yang menerima sumbangan RM48,350; Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Muda (RM45,690); SK Taman Bukit Teratai (RM38,600); SK Tasek Permai, Ampang (RM34,900) dan SK Pandan Perdana (RM32,640).

Selain itu Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada 50 kanak-kanak di Parlimen berkenaan. -- BERNAMA

Berita Harian X