Khamis, 27 Disember 2018 | 2:41pm
Fadzil (tengah) menerima replika cek pembayaran zakat daripada Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan (kanan) pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Bersama Syarikat Korporat dan Agihan Balik Zakat di Pusat Konvensyen dan Hotel Tabung Haji, di Alor Setar, hari ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kedah bidas negeri tertentu hantar ejen zakat

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) membidas tindakan negeri tertentu yang menghantar ejen untuk mengutip zakat di negeri lain yang secara jelas melanggar pensyariatan zakat hingga menjejaskan kutipan agensi yang dipertanggungjawabkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Othman, berkata pihaknya mengesan aktiviti terbabit yang jelas melanggar undang-undang dan dalam masa sama menjejaskan hasil kutipan yang sepatutnya memberi manfaat kepada penduduk Kedah.

Beliau berkata, ia isu nasional dan negeri itu menggunakan istilah zakat merentasi sempadan dan biarpun ia agak sensitif tetapi perlu dibahaskan.

“Malah Selangor dan Wilayah Persekutuan sudahpun menangkap dan mengambil tindakan undang-undang ke atas ejen yang mewakili negeri terbabit.

“Bagaimanapun, LZNK masih mempunyai ruang sebelum tindakan perundangan kerana kita lebih ambil pendekatan yang selaras pensyariatan zakat namun akan mengambil tindakan apabila masanya sudah tiba,” katanya selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Bersama Syarikat Korporat dan Agihan Balik Zakat di Pusat Konvensyen dan Hotel Tabung Haji, di sini hari ini.

Zakaria berkata, pihaknya tidak menyalahkan pembayar zakat kerana mereka hanya mahu membayar tetapi tidak tahu kesalahan yang dilakukan ejen.

“Pembayar kadangkala seronok apabila ejen ada memberi hadiah lumayan tanpa menyedari kesalahan dari aspek pensyariatan zakat. Isu ini tidak susah, mana boleh tanam padi di Kedah tetapi zakatnya dibayar ke negeri lain.

“Jika ini kerap berlaku tanpa tindakan maka sudah pasti penerima zakat dan orang susah di Kedah tidak dapat manfaatnya. Ini satu tindakan tidak adil yang dilakukan negeri yang menghantar ejen ke negeri lain,” katanya.

Ketika ditanya negeri mana yang dimaksudkan, Zakaria berkata, semua pihak terutama agensi zakat mengetahui negeri terbabit.

“Saya tidak mahu sebut tetapi semua tahu bahawa hanya ada satu negeri sahaja yang menggunakan kaedah ini,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis terbabit, Mufti Kedah merangkap Ahli Lembaga LZNK, Datuk Fadzil Awang menerima zakat terkumpul sebanyak RM6.04 juta dari 22 agensi korporat, badan berkanun dan individu sebelum pengagihan dibuat ke atas lapan organisasi dan empat penerima bantuan membabitkan pembangunan.

977 dibaca
Berita Harian X