Rabu, 26 Disember 2018 | 3:08pm
Kekangan dihadapi pengusaha stesen minyak ialah mereka membeli bahan api secara tunai dan mengikut kadar pasaran. - Foto hiasan

2 cara tangani isu harga, bekalan bahan api - FOMCA

KUALA LUMPUR: Pertikaian isu penetapan harga jualan bahan api di pasaran ketika ini berupaya diselesaikan menerusi dua pilihan, sekali gus memastikan wujud situasi ‘menang-menang’ antara pengguna, kerajaan, syarikat pembekal dan pengusaha stesen minyak.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ia merangkumi semakan semula kadar komisen yang diberikan kerajaan kepada pengusaha stesen minyak sebagai kaedah timbal balik bagi menampung perbezaan harga susulan pergerakan harga bahan api dunia.

Beliau menyifatkan penyelesaian itu antara pelaksanaan paling tepat dalam menjaga kepentingan pengusaha stesen minyak dan pengguna, memandangkan kali terakhir semakan semula kadar komisen jualan bahan api ialah pada 2008, iaitu 12 sen seliter bagi petrol serta tujuh sen seliter untuk diesel.

“Isu kehabisan minyak kerana pengusaha enggan beli stok baharu yang akhirnya terpaksa dijual dengan harga lebih murah adalah isu lama, namun berlarutan kerana tiada penyelesaian menyeluruh bagi mengatasi perkara ini daripada berulang.

“Kekangan dihadapi pengusaha stesen minyak ialah mereka membeli bahan api secara tunai dan mengikut kadar pasaran, tetapi langkah kerajaan untuk mengembalikan semula penetapan harga secara mingguan sudah tentu mencetuskan kesan dalam perniagaan mereka.

“Oleh itu, cari ‘jalan tengah’ yang berupaya menjaga kepentingan pengguna dan pengusaha stesen minyak, iaitu antaranya menerusi semakan semula kadar komisen,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (BUMIPEDA), Datuk Abu Samah Bachik, semalam dilaporkan berkata pengguna dikhuatiri bakal berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari 2019.

Katanya, masalah itu berpunca daripada keengganan pengusaha stesen minyak membeli stok pada pada harga lebih tinggi pada hujung bulan, namun terpaksa menjualnya dengan lebih murah mulai Januari tahun depan.

Mohd Yusof berkata, pilihan kedua ialah menerusi mekanisme kontrak harga masa depan seperti yang dilaksanakan dalam perjanjian pembelian bahan keperluan asas seperti gula atau tepung gandum antara pembekal dan pengedar.

Bersandarkan mekanisme itu, katanya, pengusaha stesen minyak akan diberikan harga tetap oleh syarikat pembekal minyak bagi tempoh sebulan yang difikirkan rasional bagi mengurangkan kesan peningkatan atau penurunan harga bahan api di pasaran dunia.

“Kerajaan perlu menjadi ‘orang tengah’ dalam penyelesaian seperti ini supaya pengusaha stesen dan syarikat pembekal minyak berupaya mencapai persefahaman, sekali gus memastikan kelangsungan operasi perniagaan serta bekalan kepada pengguna,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya mengambil maklum ‘suara’ pengusaha stesen minyak susulan pertimbangan kerajaan untuk mengembalikan mekanisme pengapungan harga secara mingguan.

Beliau menjelaskan, kementerian meneliti kegusaran pelbagai pihak dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara terbabit, hari ini.

1430 dibaca
Berita Harian X