Rabu, 26 Disember 2018 | 12:59pm

185,000 isi rumah nikmati rebat elektrik RM40 mulai 1 Januari

PUTRAJAYA: Sebanyak 185,000 isi rumah miskin tegar dan miskin akan menikmati rebat elektrik berjumlah RM40 di bawah Program Rebat Bil Elektrik RM40 bermula 1 Januari ini.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) berkata program itu adalah bantuan kerajaan secara bersasar khusus kepada keluarga miskin tegar dan miskin yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem eKasih, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, 2 November lalu.

Menurutnya, ia adalah program baharu yang diperkenalkan kerajaan bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2019, bagi menggantikan Program Rebat Bil Elektrik RM20 yang tamat pada bulan ini.

“Di bawah program ini, ketua isi rumah miskin tegar dan miskin di bawah eKasih yang sudah dikenal pasti akan menerima bil elektrik secara percuma sehingga RM40 sebulan, bergantung kepada jumlah penggunaan elektrik mereka.

“Jika penggunaan elektrik adalah di bawah RM40 sebulan, secara automatik ketua isi rumah berkenaan akan menerima bil elektrik percuma berdasarkan bil sebenarnya.

“Bagaimanapun, jika penggunaan elektrik melebihi RM40 sebulan, ketua isi rumah berkenaan hanya perlu membayar baki bil selepas ditolak bantuan rebat sebanyak RM40,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada pembentangan Belanjawan 2019 lalu, kerajaan mengumumkan untuk menaikkan kadar subsidi bil elektrik kepada RM40 sebulan, berbanding RM20 ketika ini, yang membabitkan peruntukan RM80 juta serta memanfaatkan 185,000 akaun pengguna.

MESTECC berkata, program rebat bil elektrik itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kualiti hidup rakyat terpelihara.

Katanya, pengguna boleh membuat semakan untuk kelayakan eKasih dan kelayakan menerima bantuan rebat bil elektrik di portal MESTECC di https://semakanrebat.mestecc.gov.my atau menghubungi My Government Call Centre (MyGCC) di talian 03-8000 8000.

“Pengguna juga boleh membuat semakan kelayakan di Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan menghubungi Careline di talian 1-300-88-5454 atau membuat semakan terus di Kedai Tenaga yang berdekatan.

“Bagi pengguna di Sabah, talian Helpline Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di 088-515000/15454 manakala bagi pengguna di Sarawak, talian Customer Care Sarawak Energy Berhad (SEB) 1-300-88-3111,” katanya.

Sementara itu, bagi pengguna eKasih yang layak tetapi tidak mempunyai akaun berdaftar dengan TNB/SESB/SEB, MESTECC berkata, pengguna boleh membuat permohonan bagi mengisytiharkan akaun pihak ketiga dengan mengisi borang permohonan di mana-mana Kedai Tenaga TNB/Pejabat SESB/Pejabat SEB yang terdekat bersama salinan Kad Pengenalan sebagai dokumen sokongan.

“Bagi pengguna yang tidak layak selepas semakan dibuat dan ingin mendaftar dalam program eKasih, mereka diminta merujuk kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan/Jabatan Pembangunan Persekutuan (PPPN/JPP) Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) di peringkat negeri dan di Unit Pembangunan Pejabat Daerah.

“Data eKasih dibuat secara bancian dan pendaftaran oleh Pejabat-pejabat PPPN/JPP ICU JPM di peringkat negeri,” katanya.

10017 dibaca
Berita Harian X