Ahad, 23 Disember 2018 | 8:30am

MyBF buka peluang lanjut pengajian

KUALA LUMPUR: “Bapa meninggal ketika saya berusia 12 tahun dan sejak itu, ibu yang membesarkan kami enam beradik. Apabila mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tahun lalu, saya terpaksa melupakan tawaran itu kerana ibu tidak mampu menyediakan wang untuk menampung pengajian saya,” kata Heena Niesha Bella M Ravindran.

Heena antara pelajar bijak yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, tetapi terpaksa melupakan cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana kekangan kewangan keluarga.

Bagaimanapun, hasrat meneruskan pelajaran ke menara gading akhirnya tercapai apabila menerima tawaran Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) yang diperkenalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Yayasan Tenaga Nasional (YTN). Heena kini pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan kepujian.

“Tahun ini, saya sekali lagi mendapat tawaran ke UTHM sekali dengan surat pemberian dermasiswa TNB. Tentu sahaja saya gembira mendapat peluang ini dan berharap mampu mencapai kejayaan demi membalas jasa dan pengorbanan ibu,” katanya.

Kekangan kewangan keluarga juga antara masalah dihadapi Ken Anak Abam untuk menyambung pelajaran kerana ibu bapanya tidak bekerja.

“Segala-galanya berubah apabila saya ditawarkan Dermasiswa MyBF walaupun tidak pernah memohon. Saya akan buktikan kepada TNB apa yang mereka berikan kepada saya, akan saya kembalikan kepada mereka jika diberi peluang berkhidmat kelak,” katanya.

Kegembiraan turut dirasai Muhammad Adib Afham Abdullah apabila mendapat tahu ditawarkan Dermasiswa MyBF. Jika tidak, dia perlu membuat pinjaman pelajaran untuk menampung kos pengajiannya.

“Saya bersyukur diberi peluang meneruskan pengajian dan dipilih menerima Dermasiswa TNB kerana ia membantu saya membiayai kos sara hidup dan belajar sepanjang pengajian,” katanya.

Bagi anak sulung daripada tujuh beradik, Nur Hanis Suraya Noorsharimi, berazam untuk tidak sia-siakan peluang diberikan kerana sedar dirinya memikul tanggungjawab besar untuk menjadi contoh yang baik untuk adiknya.

“Saya ingin mencapai impian menyambung pelajaran ke peringkat doktor falsafah dan menjadi pensyarah suatu hari nanti,” katanya.

Pelajar, Leong Kay Yau, berkata pada mulanya berasa sangsi melihat surat tawaran MyBF kerana tidak membuat permohonan sebelum ini.

“Selepas mendapat penjelasan daripada pihak YTN, saya bersyukur dan ingin mengambil peluang ini membantu ibu bapa saya di kampung. MyBF akan membantu sepanjang empat tahun pengajian,” katanya.

Ringankan bebanan

Tidak dapat dinafikan, aset terpenting untuk mengubah nasib keluarga adalah pendidikan, namun faktor kemiskinan keluarga dan sukar mendapatkan pembiayaan pengajian sering kali menjadi kekangan untuk menuntut ilmu hingga ke puncak menara gading dan akhirnya cita-cita murni itu tidak kesampaian.

TNB melalui YTN, mula memperkenalkan bantuan biasiswa kepada pelajar sejak 1993 dan membelanjakan lebih RM1 bilion untuk 11,000 penerima sehingga kini.

Tahun ini buat julung kali, TNB memperkenalkan Dermasiswa MyBF khusus untuk membantu 1,000 pelajar mendaftar bagi kemasukan semester pertama 2018/2019 di tujuh universiti awam.

TNB bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelaras dengan mengenal pasti calon layak daripada keluarga berpendapatan rendah.

KPM membuat padanan dengan pangkalan data e-Kasih yang dikendalikan Unit Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengarah YTN, Datuk Dr Shaari Md Nor, berkata Dermasiswa MyBF ini diberikan tanpa perlu melalui proses ketat seperti temu duga hingga ada sebilangan pelajar yang terkejut apabila menerima surat dermasiswa walaupun tidak membuat sebarang permohonan.

“Mereka ini terpilih daripada pangkalan data UPU dan keutamaan adalah kepada mereka yang mendaftar dengan e-Kasih. MyBF ini adalah satu-satunya penajaan dermasiswa dan tiada organisasi korporat lain yang memberi dermasiswa sebegini,” katanya.

Dermasiswa luar biasa

Setiap penerima diberi RM10,000 setiap tahun meliputi yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup dan sebagainya sehingga tamat tempoh pengajian mereka.

Dermasiswa ini adalah tambahan kepada biasiswa dan pinjaman boleh ubah yang ditawarkan setiap tahun dengan nilai RM100 juta ketika ini.

Tahun hadapan, TNB merancang untuk menaja 4,000 penuntut lagi dan memperluaskan Dermasiswa MyBF kepada universiti awam lain.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Profesor Madya Dr Afandi Ahmad, berkata bantuan kewangan yang diberikan TNB ini sesuatu yang luar biasa kerana penerima tidak perlu membayar balik dan tidak terikat dengan kontrak.

“Saya harap pelajar yang menerima dermasiswa ini akan menyumbang kepada masyarakat apabila tamat pengajian nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, berkata menerusi program My Brighter Future ini pelajar yang menerima tajaan boleh memberi tumpuan kepada pelajaran, mencapai kejayaan dan akhirnya berupaya membawa diri dan keluarga kepada kehidupan yang lebih baik.

Info Dermasiswa TNB:

• Sejak 1993, TNB menerusi YTN belanja lebih RM1 bilion bantu pelajar melalui biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada 11,000 pelajar cemerlang.

• Tahun ini, TNB perkenalkan Dermasiswa My Brighter Future (Dermasiswa MyBF) bantu pelajar kurang berkemampuan

• Taja 1,000 penuntut bagi sesi kemasukan Semester 1, 2018/2019 IPTA di tujuh universiti awam

10696 dibaca
Berita Harian X