Sabtu, 22 Disember 2018 | 3:04pm

AIM serah dokumen kepada SPRM - Junaidah

KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sudah menyerahkan dokumen dan maklumat berhubung anak syarikatnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Junaidah Kiting, berkata dokumen dan maklumat itu diserahkan oleh pengurusan kanan agensi terbabit kepada SPRM, semalam.

“AIM akan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan serta agensi berkaitan demi memastikan urus tadbir dan pengurusan AIM berjalan mengikut Akta Perbadanan Amanah 1952 Pindaan 1982 serta perundangan berkaitan.

“Pengurusan baharu komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak berkenaan amalan ketirisan, penyelewengan atau penyalahgunaan dana AIM,” katanya menerusi kenyataan.

AIM sebelum ini dilaporkan berkata sedia disiasat jika terdapat unsur meragukan dalam penubuhan anak syarikatnya.

Agensi itu menegaskan pengurusan baharu AIM tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak jika wujud amalan ketirisan, penyelewengan atau penyalahgunaan dana AIM ketika pentadbiran lalu.

Mengulas lanjut, Junaidah berkata, AIM yakin SPRM dapat mengkaji dan membuat semakan dengan telus terhadap dokumen serta maklumat yang diserahkan untuk kepentingan semua pihak.

“Barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah AIM dan pengurusan yang baharu sedang dan akan mengambil tindakan yang perlu berlandaskan Suratcara Ikatan Amanah AIM bagi memastikan AIM terus kekal dalam landasan yang betul bagi memperkasakan ekonomi golongan B40.

“Kami juga akan memastikan urus tadbir AIM dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti, selaras corak kepimpinan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

855 dibaca
Berita Harian X