Sabtu, 22 Disember 2018 | 2:57pm
S T Rajamani dan isteri, S Agila mengumpulkan getah beku untuk dijual kepada peraih di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah. - NSTP/Hassan Omar

'Terima kasih, kami sangat gembira'

ALOR GAJAH: Langkah kerajaan menetapkan harga lantai getah beku RM2.50 sekilogram mulai Januari ini berbanding di bawah RM2 diibaratkan seperti bulan jatuh ke riba oleh penoreh getah.

Selepas harga getah beku merudum sejak suku kedua tahun lalu, penetapan harga baharu itu disifatkan sebagai jalan penyelesaian terbaik dan ‘penyelamat’ buat sumber pendapatan ribuan penoreh getah di negara ini.

Bagi pasangan suami isteri, S T Rajamani, 50, dan S Agila, 48, langkah kerajaan itu bukan setakat berita gembira, malah menjamin kelangsungan rezeki penoreh getah selepas terpaksa bertarung dengan harga yang terlalu rendah.

Rajamani berkata, walaupun harga merudum mereka sekeluarga tidak mempunyai pilihan selain terpaksa terus mengambil upah menoreh getah di kebun seluas empat hektar milik seorang penduduk di Masjid Tanah, di sini.

“Terima kasih kepada kerajaan. Memang itulah yang selalu disuarakan oleh penoreh dan pekebun kecil kerana tidak tahan susulan harga getah beku yang sangat rendah.

“Saya harap harga ini kekal untuk jangka panjang kerana semakin banyak kebun getah tidak ditoreh sejak harga jatuh,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dilaporkan berkata, kerajaan menetapkan harga lantai getah beku kepada RM2.50 sekilogram mulai Januari ini bagi mengelak pekebun getah terus terjejas akibat kejatuhan harga.

Sementara itu Agila berkata, harga getah beku yang merudum kepada RM1.90 sekarang amat menekan kehidupannya kerana dengan hasil jualan getah yang dibahagi dua dengan pemilik kebun, dia terpaksa membesarkan tujuh anak berusia antara 16 hingga 27 tahun.

Katanya, dengan penetapan harga lantai itu, dia menjangka pendapatan dia dan suami mampu meningkat melebihi pendapatan sekarang antara RM800 hingga RM1,000 sebulan.

“Sebelum ini kami mengambil upah menoreh di kebun getah seluas dua hektar tetapi sejak bulan lalu kami berpindah ke kebun getah seluas empat hektar di sini,” katanya.

Dia berkata, penetapan harga berkenaan adalah bonus selepas kerajaan menaikkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM2.50 sekilogram mulai tahun depan berbanding RM2.20 sekarang.

“Walaupun kenaikan itu tidak besar, sedikit sebanyak ia mampu mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang,” katanya.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Zairossani Mohd Nor dilaporkan berkata, pekebun kecil dijangka mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM144 sebulan atau RM1,728 setahun bagi pengeluaran getah seluas dua hektar dengan peningkatan paras harga pengaktifan IPG daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram mulai 2019.

Berita Harian X