Jumaat, 21 Disember 2018 | 10:57am
Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad (tengah) beramah mesra bersama penerima sijil penghargaan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Polis buat persiapan rapi menjelang PRK Cameron Highlands

KUANTAN: Polis Pahang melakukan persiapan rapi bagi memastikan keselamatan dan kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang dijadualkan 26 Januari depan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Zakaria Ahmad, berkata mesyuarat awal berhubung penugasan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang sudah dilakukan minggu lalu.

“Tahap kesiapsiagaan pegawai dan anggota kita berada dalam keadaan terbaik bagi memastikan ia (PRK Cameron Highlands) berjalan lancar. Kita juga sudah bersiap sedia untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan tugas secara tersusun.

“Berkaitan jumlah pegawai dan anggota yang bakal ditugaskan di sana nanti, kita tidak berdepan masalah kerana sumber tenaga PDRM Pahang sendiri mencukupi dan dibantu kakitangan agensi lain untuk tujuan mengawal tempat letak kenderaan sebagai contoh, atau perkara lain membabitkan keselamatan komuniti di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

PRK Cameron Highlands diadakan semula susulan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya di Kuala Lumpur pada 30 November lalu, mengisytiharkan kerusi Parlimen itu kosong selepas mendapati wujud amalan rasuah membawa kepada kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivarraajh.

Calon DAP, M Manogaran, mengemukakan petisyen pada Jun lalu mendakwa Sivarraajh melanggar Akta Pilihan Raya 1954 apabila didakwa menyogok pengundi Orang Asli.

Manogaran mendakwa, Sivarraajh yang berkempen bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, membayar penduduk Orang Asli antara RM30 hingga RM1,000 melalui tok batin bagi memastikan kemenangan BN dalam pertandingan lima penjuru.

Sivarraajh menang dengan undi 10,307 undi, manakala Manogaran memperoleh 9,710 undi.

Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680) dan calon parti Berjasa, Mohd Tahir Kassim (81).

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi semasa PDRM Pahang, Zakaria berkata, beliau yang dilantik sebagai Ketua Polis negeri pada 9 Oktober lalu, berkata beliau sudah meminta semua pegawai dan anggota meningkatkan lagi kadar penyelesaian kes, termasuk kes yang tertangguh sejak tahun 2010.

“Secara umumnya, mereka (pegawai dan anggota) sudah menjalankan tugas dengan baik, namun masih ada ruang untuk diperbaiki tahap keberkesanan, terutamanya dalam (penyelesaian) kes tertentu yang dilihat kurang memuaskan.

“Kadar penyelesaian kes masih boleh ditingkatkan kerana kita mahu mendapatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat. Jadi, ini adalah fokus dan keutamaan yang ditetapkan oleh saya,” katanya.

228 dibaca
Berita Harian X