Rabu, 19 Disember 2018 | 7:28pm
TIMBALAN Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin beramah mesra dengan orang ramai pada majlis perasmian Program Taklimat IPG dan Penghasilan Getah Berkualiti Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil di Dewan Sri Mercu, Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

Peratusan tuntutan IPG terlalu rendah - Shamsul Iskandar

KUALA KANGSAR: Bilangan pekebun kecil yang membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berada pada tahap terlalu rendah iaitu hanya 20 peratus daripada 450,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata Sarawak menjadi negeri paling rendah membuat tuntutan iaitu hanya sebanyak 60 tuntutan sebulan diterima daripada pekebun kecil getah di negeri itu.

Katanya, pihaknya sudah mengetahui beberapa sebab yang menjadikan pekebun kecil ini tidak mahu membuat tuntutan dan alasan utama adalah lokasi Pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) jauh dari lokasi penempatan mereka.

Menurutnya, atas inisiatif kerajaan untuk membantu pekebun kecil, pihaknya akan mengarahkan pegawai LGM untuk turun ke lokasi pekebun kecil itu bagi mengumpul borang tuntutan yang ingin dibuat.

“Kita (kerajaan persekutuan) akan gunakan pendekatan dipermudahkan iaitu pegawai-pegawai LGM akan datang, mereka akan kutip permohonan tuntutan itu dan akan `key in’ (masukkan) data dan kemudian (wang tuntutan) akan terus masuk ke dalam akaun.

“EXCO kerajaan negeri yang terbabit akan diminta untuk membantu menyelaraskan bagi membolehkan LGM berhubung dengan beberapa lokasi pekebun kecil dan ada pihak akan diberikan amanah untuk menguruskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Taklimat IPG dan Penghasilan Getah Berkualiti Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil di Dewan Sri Mercu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri dan Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.

Program itu diadakan bertujuan menyampaikan taklimat mengenai IPG dan juga penerangan mengenai penghasilan getah berkualiti bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah di negeri ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan mulai tahun hadapan, penetapan harga IPG dinaikkan kepada RM2.50 sekilogram berbanding RM2.20 ketika ini bagi membantu pekebun kecil getah di negara ini.

Shamsul Iskandar berkata, bagi memudahkan lagi permohonan pekebun kecil getah, pihaknya sedang membuat projek perintis di Melaka supaya tuntutan itu lebih mudah dibuat iaitu secara dalam talian.

“Sekarang ini kita sedang adakan projek perintis di Melaka supaya tuntutan itu lebih mudah secara online (dalam talian) dan sebagainya, kita buat kerjasama terus dengan orang yang membeli getah ini dan kalau itu berjaya, ia akan membantu mempermudah lagi sistem tuntutan ini.

“Buat masa ini kita masih gunakan ‘manual’. Jadi, saya harap pekebun kecil akan menggunakan peluang ini, kalau mereka buat tuntutan mereka akan dapat, sekiranya semua membuat tuntutan, kerajaan perlu mengeluarkan perbelanjaan hampir RM700 juta,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil getah, Shamsul Iskandar berkata ia masih belum diputuskan oleh kerajaan dan beliau sendiri sudah mengumpulkan pandangan akar umbi untuk diserahkan kepada menterinya, Teresa Kok.

432 dibaca
Berita Harian X