Isnin, 17 Disember 2018 | 1:00pm
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. - NSTP/Asyraf Hamzah

Kalau saya isytihar bermakna saya bohong - Mohamaddin

KUALA LUMPUR: “Kalau saya isytiharkan (harta) biarpun kosong bermakna saya berbohong,” kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, tindakan itu sekiranya dilakukan akan menimbulkan banyak persoalan.

“Kalau saya tidak ada harta dan anda mahu saya isytihar, orang yang tidak ada harta dipaksa isytihar, apa yang anda panggil (tindakan itu). Betulkah atau pun bohong?

“Kalau ada harta anda perlu isytihar, kalau tidak ada harta anda kata tidak mempunyai (harta),” katanya ketika ditemui selepas sidang media penemuan rangka manusia prasejarah, di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta Ahli Parlimen kerajaan yang masih belum membuat pengisytiharan harta supaya berbuat demikian meskipun tidak mempunyai sebarang harta.

Bagaimanapun, Mohamaddin pada minggu lalu mengeluarkan kenyataan mengakui dirinya sebagai ‘orang miskin’ dan tidak mampu memiliki aset walaupun sebuah kereta atau rumah.

Ahli Parlimen Silam daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu juga tidak menolak kemungkinan mengisytiharkan aset sekiranya berpeluang membeli atau memiliki harta pada masa depan.

Berita Harian X