Ahad, 16 Disember 2018 | 1:06pm
DR Mahathir melihat buku yang dihadiahkan oleh Dr Arthit Ourairat selepas majlis makan malam bersama Rangsit University di hotel penginapan beliau, semalam. - Foto BERNAMA

Dr Mahathir negarawan ulung - Presiden RUS

BANGKOK: Idea memberi penghormatan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan anugerah ijazah doktor kehormat dalam bidang kepimpinan masyarakat, perniagaan dan politik tercetus daripada kumpulan pelajar Rangsit University (RUS) yang tercari-cari satu contoh peranan dalam kepimpinan dari kalangan negara jiran.

Presiden RUS, Dr Arthit Ourairat, memberitahu media Malaysia bahawa pelajar program kepimpinan Social Innovation College universiti terbabit mendapati Dr Mahathir sebagai tokoh paling layak dan mengambil inisiatif untuk mengunjung beliau.

“Kami menilai apakah contoh peranan yang negara kami perlukan dan Dr Mahathir memiliki segalanya yang diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin yang cemerlang,” kata beliau.

“Beliau seorang pemimpin tegas dan berani yang membawa negara maju ke hadapan malah menyelamatkan negara pada saat-saat kegawatan termasuk semasa krisis kewangan 1998. Inilah jenis pemimpin yang kami rakyat Thai ingin miliki.

“Kerana itulah pelajar yang sama adalah antara mereka yang paling awal mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir apabila gabungan Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya.

Tambah beliau pelajar-pelajar yang sama turut menerima ijazah mereka hari ini apabila Dr Mahathir dianugerah ijazah doktor kehormat.

Hakikat bahawa Dr Mahathir datang ke sini untuk menerima anugerah berkenaan, walaupun mempunyai jadual yang padat, bukan hanya memberi inspirasi kepada graduan baharu tetapi juga orang ramai.

Kata Dr Arthit, 80, walaupun usia Dr Mahathir sudah lanjut, beliau tetap bersemangat, teruja dan bertenaga dengan menyampaikan ucapan tanpa melihat skrip. Idea dan wawasannya tercetus begitu pantas lagi dinamik dan setiap hari beliau beliau menampilkan penyelesaian baharu terhadap masalah yang dihadapinya.

“Meskipun, saya 13 tahun lebih muda daripadanya tetapi tidak dapat bersaing dengan beliau. Inilah sesuatu yang disanjung oleh rakyat Thailand mengenai Dr Mahathir.

“Selepas memenangi pilihan raya, namanya meniti di bibir penduduk Thailand, bahawa Dr Mahathir boleh kembali (sebagai Perdana Menteri). Jadi, beliau adalah contoh terbaik untuk orang lain, Thaksin (bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra) mengapa kamu tidak kembali.

“Ia bukan mengenai usia, banyak perkara lain yang harus dipertimbangkan. Tiada siapa pun yang sempurna tetapi saya mendapati tiada apa-apa yang tidak baik mengenai Dr Mahathir. Kami mengagumi beliau kerana apabila negara menghadapi masalah, beliau sanggup kembali bekerja keras menyelamatkan negara demi rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, RUS sangat memilih mengenai siapa yang dianugerahkan ijazah doktor kehormat dan setakat ini, ia hanya dianugerahkan kepada empat tokoh termasuk Dr Mahathir.

Tiga lagi penerima adalah Puteri Srinagarindra (Somdet Ya) dari Thailand; Raja Bhutan, Yang Mulia Jigme Khesar Namgyel Wangchuck (2009) dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe (2016).

Sementara itu, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, turut diraikan pada majlis makan malam anjuran RUS di sebuah hotel terkemuka di sini.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan isteri Datin Norlin Shamsul Bahri; Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel; Menteri Pendidikan Thailand, Teerakiat Jareonsettasin; Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, WeerasakKowsurat serta Timbalan Menteri Luar Thailand, Virasakdi Futrakul selain anggota kanan akademik RUS.

Pada majlis itu, mereka yang hadir meraikan minum ucap selamat kepada Dr Mahathir semoga dipelihara kesihatan, dilanjutkan usia dan kepimpinannya mencapai kejayaan besar, beroleh kebahagiaan demi masa depan yang lebih cerah untuk negara serta rakyatnya. - BERNAMA

Berita Harian X